Rabu, 10 April 2019 | 10:00pm
PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Asyraf Hamzah

BERSATU akan persembahkan calon MB Johor

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mempersembahkan nama calon Menteri Besar kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebaik peletakan jawatan Datuk Osman Sapian diperkenankan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu sudah dipersembahkan kepada Sultan Johor pada Isnin lalu.

Justeru, BERSATU menghormati keputusan Osman dan merakam penghargaan terhadap sumbangan dan khidmat beliau kepada negeri dan rakyat Johor sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Besar.

“Saya berharap proses penggantian Menteri Besar Johor akan berlangsung dengan teratur dan sempurna supaya pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar.

“Adalah penting usaha memacu kemajuan negeri Johor tidak terganggu dengan peralihan kepimpinan ini. Pakatan Harapan (PH) komited untuk memastikan negeri Johor terus maju, makmur dan sentosa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut meminta rakyat Johor dan ahli parti, terutamanya BERSATU supaya bertenang dan terus merapatkan saf serta patuh dengan keputusan kepimpinan parti.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan Osman sebagai Menteri Besar Johor berkuatkuasa kelmarin.

Perdana Menteri berkata, Osman menyerahkan dua surat peletakan jawatan kepadanya dalam satu pertemuan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, dengan satu daripadanya akan diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Berita Harian X