Jumaat, 12 April 2019 | 12:19am
DATUK Seri Anwar Ibrahim berucap pada ceramah umum di Taman Seri Intan, Kampung Siliau, malam ini. - Foto BERNAMA

Calon MB dapat dukungan majoriti

SEREMBAN: PKR berpendirian sebarang urusan yang berkaitan dengan pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu perlu dilakukan dengan berlandaskan kepada peruntukan Perlembagaan.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata berdasarkan Perlembagaan, perkara yang perlu diikuti ialah parti yang mendapat majoriti perlu mengusulkan nama yang difikirkan layak dan sesuai kepada sultan untuk diperkenan.

“Keputusan mesti mengikut Perlembagaan. Usul nama dibuat dari parti yang mendapat majoriti dan dipersembahkan kepada tuanku untuk diperkenankan.

“Perlembagaan jelas. Maknanya calon ialah mereka yang dipercayai akan mendapat dukungan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Maka, apa yang Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sebut adalah nama itu dikemukakan dan kita bersetuju nama itu dari BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yang mendapat dukungan majoriti dan tunggu perkenan tuanku,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di Siliau, malam tadi.

Beliau mengulas peletakan jawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkuat kuasa pada Isnin lalu.

Berita peletakan jawatan itu diumumkan Dr Mahathir pada sidang media di Parlimen, pada Selasa.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) berkata, belum ada nama calon Menteri Besar yang diserahkan kepada pihak Istana Johor berhubung pengganti kerana Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sedang bercuti.

“Belum (serah nama). Tuanku sedang bercuti. Siapa calonnya, kena tanya Tun Mahathir,” katanya.

Sultan Johor bertitah, baginda akan membuat keputusan terbaik demi rakyat apabila tiba masanya nanti dan meminta pihak tertentu berhenti bertelagah.

Dalam entri terbaru di laman Facebook rasminya, Sultan Ibrahim bertitah, walaupun baginda berada di luar negara, tetapi sentiasa mengikuti perkembangan dalam negara, terutama Johor menerusi laporan pelbagai pihak.

“Saya kini berada di luar negara tetapi sentiasa mengikuti perkembangan dalam negara terutama negeri Johor melalui laporan semua pihak.

“Saya mahu pihak tertentu berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik, sebaliknya tumpukan kepada usaha menjaga negara,” titah baginda.

Berita Harian X