Ahad, 14 April 2019 | 2:06pm
TAN Sri Muhyiddin Mohd Yassin berharap pentadbiran negeri Johor akan berjalan lancar dan tumpuan sepenuhnya diberi kepada usaha memajukan negeri itu, demi kepentingan rakyat. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Majukan negeri, rakyat Johor - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap pentadbiran negeri Johor akan berjalan lancar dan tumpuan sepenuhnya diberi kepada usaha memajukan negeri itu, demi kepentingan rakyat susulan peralihan kepemimpinannya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu sekali gus menjunjung kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kerana memperkenan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal sebagai Menteri Besar Johor yang baharu seperti yang dicadang pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana telah memberi panduan, sokongan dan kepercayaan penuh kepada PH Johor untuk mencari muafakat dalam menjayakan peralihan kepemimpinan kerajaan negeri.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana berkat muafakat pimpinan PH di peringkat negeri Johor dan pusat peralihan kepimpinan kerajaan negeri Johor dapat berjalan dengan lancar dan sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri mengucapkan tahniah kepada Dr Sahruddin atas pelantikan itu dan berharap beliau dapat menjalankan tugas dengan penuh beramanah dan berintegriti.

Dr Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pagi tadi. Beliau menggantikan Datuk Osman Sapian. - BERNAMA

Berita Harian X