Ahad, 14 April 2019 | 9:03pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas merasmikan Pejabat PKR Pahang di Kuantan, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Trend pengundi tidak boleh dijangka, PH perlu bekerja kuat

KUANTAN: Kekalahan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam menunjukkan trend pengundi, terutama dalam kalangan pengundi Melayu sukar dijangka.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata walaupun PH boleh menerima kekalahan itu, namun jumlah undi popular terhadap Kerajaan Persekutuan ketika ini tidak merosot.

“Saya tidak mahu bagi alasan, saya ambil berat dan saya turun berkempen di sana (Rantau)... memang kita akui kawasan (pengundi) Melayu, kita ada masalah sikit dan perkara ini kita harus tangani, bukannya salahkan pengundi.

“Tapi kalau nak dikatakan ini sebagai trend sokongan, ia tidak betul... kita kena tengok keputusan di (PRK) Seri Setia, Balakong dan di Port Dickson sendiri... sebagai contoh, di Port Dickson, kita memperoleh undi yang tinggi di kawasan majoriti pengundi Melayu.

“Merujuk kepada PRK Sandakan tidak lama lagi, saya pun ada berbincang dengan pemimpin DAP dan di Sandakan, suasananya berbeza dan saya yakin DAP tidak ada masalah untuk mempertahankan kerusi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pejabat PKR Pahang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PKR negeri yang juga Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.

Keputusan PRK Rantau yang diumumkan semalam menyaksikan Dr Streram yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau memperoleh 5,887 undi, tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini memangku jawatan Presiden UMNO yang mendapat 10,397 undi.

Sementara itu, Anwar dalam ucapan perasmiannya meminta semua pemimpin PH menerima keputusan dibuat rakyat dan menumpukan kepada dua isu besar yang perlu diselesaikan segera.

Katanya, isu kos sara hidup dan keyakinan terhadap dasar yang cuba dilaksanakan Kerajaan Persekutuan hari ini perlu diberi perhatian bagi mengelak daripada terus kehilangan sokongan daripada rakyat.

“Jadikan apa yang berlaku di Rantau sebagai isyarat, kita adalah parti yang ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib mereka (rakyat) dan janganlah apabila kita sudah berkuasa, kita lupakan rakyat yang bersama kita ketika susah dahulu.

“Ramai yang kata bahawa kita sudah lupakan rakan-rakan lama yang bersama-sama memulakan perjuangan ini. Saya minta pihak pengerusi PKR negeri mengaturkan perjumpaan dengan semua pejuang lama kita, panggillah mereka semua untuk kembali bersama kita, kalau ada yang merajuk, pujuklah... kerana mereka inilah kekuatan sebenar PKR selama ini,” katanya.

Berita Harian X