Rabu, 24 April 2019 | 4:50pm
DR SAHRUDDIN JAMAL (tujuh kiri) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi bergambar bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) Johor yang baharu. - Foto BERNAMA

Ini 'team' saya untuk bela rakyat - MB Johor

ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal, menegaskan beliau dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang dipilih bukan ‘team Muhyiddin’ seperti didakwa.

Sebaliknya Dr Sahruddin berkata, barisan EXCO baharu itu adalah pasukannya yang akan bekerja bersama penjawat awam untuk memastikan kebajikan dan menjaga rakyat Johor.

“Sebetulnya untuk kita membela rakyat, tiada `team’ pun, cuma pasukan EXCO yang ada sekeliling saya itu adalah pasukan yang saya selesa bekerja dengan mereka.

“Tujuannya adalah untuk kita menjaga rakyat Johor, tidak ada ‘team A’ atau ‘team B’. Kita bersama (bekerja) penjawat awam untuk memastikan rakyat dapat kebaikan, ekonominya bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam satu temubual bersama media di pejabatnya di sini, hari ini.

Dr Sahruddin mengulas perkara itu ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa barisan EXCO baharu yang mengangkat sumpah, kelmarin adalah ‘team’ Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut mengenai tekanan Kerajaan Pusat dan Istana Johor, Dr Sahruddin berkata beliau yakin dapat mengimbangi perkara itu selain menyelesaikan semua perkara berbangkit.

“Johor mempunyai adat dan cara pemerintahan tersendiri, tidak dinafikan kemakmuran serta kemajuan Johor adalah sebahagian sumbangan Istana Johor.

“Pada masa sama, saya akan terus bekerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan yang dirangka, dirancang dan dilaksanakan itu adalah berdasarkan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan (PH),” tambahnya.

Bagaimanapun katanya, beliau akan mohon perkenan daripada pihak Istana Johor selain mendapatkan pandangan kepemimpinan Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu.

“Saya akan memainkan peranan menjadi jambatan Kerajaan Persekutuan dan Istana,” katanya

Berita Harian X