Sabtu, 27 April 2019 | 12:59pm
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Prof. Dr. Azmi Sharom ketika sidang media selepas pengumuman calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan di Dewan Aktiviti SMJK Tiong Hua. - Foto Khairull Azry Bidin

SPR tubuh 4 pasukan penguat kuasa pantau aktiviti kempen

SANDAKAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang akan memantau aktiviti sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Timbalan Pengerusinya, Dr Azmi Sharom, berkata penubuhan pasukan membabitkan wakil parti, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPR itu adalah selaras Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau berkata, PP-KPR antara lain memiliki kuasa menurunkan bahan kempen yang berunsur negatif atau melanggar peruntukan undang-undang pilihan raya.

“Pada PRK kali ini, kita juga membuat penambahbaikan dengan menambah 17 saluran baharu di pusat mengundi yang ramai pengundi, menjadikan jumlah keseluruhan 92 saluran berbanding hanya 75 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Seramai 349 pengundi orang kelainan upaya (OKU) yang dikenal pasti dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengundi di saluran satu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas proses penamaan calon di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, di sini, hari ini.

Seterusnya, Azmi berkata, waktu mengundi juga diawalkan bermula jam 7.30 pagi hingga jam 5.00 petang dengan mengambil kira dan mengikut kesesuaian waktu berbuka puasa bagi petugas, ejen calon serta pemerhati bagi melicinkan proses pengiraan undi.

Katanya, SPR menjangkakan kira-kira 70 peratus pemilih akan mengundi pada PRK Parlimen Sandakan.

Selain itu, beliau berkata, SPR akan menyiarkan proses pengiraan undi secara ‘live streaming’ menerusi laman sosial Facebook sebagai pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai proses pengiraan undi ketika pilihan raya.

“Kita juga membuat penghantaran Kad Pengundi yang mengandungi maklumat daftar pemilih seperti pusat mengundi, saluran, bilangan dan masa mengundi kepada 39,349 pengundi untuk kemudahan serta kelancaran proses mengundi,” katanya.

Azmi berkata, SPR melantik 57 pemerhati pilihan raya daripada 10 organisasi membabitkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan dua individu berkelayakan untuk memantau perjalanan pilihan raya kali ini.

Beliau turut mengingatkan calon bertanding supaya sentiasa mematuhi peraturan sepanjang tempoh berkempen, termasuk mendapatkan permit polis bagi setiap ceramah.

Berita Harian X