Sabtu, 27 April 2019 | 10:20pm
MAZLAN Bujang

Mazlan Bujang bakal Pengerusi BERSATU Johor?

JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Mazlan Bujang, yang digugurkan minggu lalu, dikatakan dilantik menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor.

Menurut sumber BH, pelantikan Mazlan sebagai Pengerusi BERSATU negeri itu adalah arahan pucuk pimpinan parti di peringkat pusat.

Katanya, petang tadi ketika Mesyuarat Badan Kepimpinan parti itu turut diadakan undian antara 26 Ketua Bahagian BERSATU bagi mengumpul suara majoriti mengenai lantikan berkenaan.

"Semua 23 Ketua Bahagian dalam Johor bersetuju untuk melantik Mazlan menjadi Pengerusi BERSATU Johor seperti arahan (Presiden BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan (Pengerusi BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Bagaimanapun, tiga Ketua Bahagian tidak bersetuju, jadi sebab itu tidak diumumkan lagi Mazlan sebagai Pengerusi BERSATU Johor.

"Secara prinsipnya, majoriti Ketua Bahagian di Johor bersetuju dengan lantikan itu," katanya ketika menghubungi BH di sini, hari ini.

Kini, jawatan Pengerusi BERSATU Johor disandang Muhyiddin, manakala Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai Setiausaha.

Sementara itu, Mazlan ketika dihubungi BH berkata, beliau menerima dan reda dengan segala keputusan jika dilantik sebagai Pengerusi BERSATU Johor.

"Khabar angin itu ada tetapi saya belum lagi menerima sebarang surat atau hitam putih daripada pucuk pimpinan.

"Apa pun, saya terima, reda dan pasrah dengan sebarang ketentuan Allah," katanya.

Berita Harian X