Ahad, 28 April 2019 | 8:02pm
PENGARAH Media BERSATU Johor, Solihan Badri. - Foto Hairul Anuar Rahim

Pengerusi baharu BERSATU Johor diumum selepas Aidilfitri

JOHOR BAHRU: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor akan diumum selepas Aidilfitri ini.

Pengarah Media BERSATU Johor, Solihan Badri, berkata ia akan diumumkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga penyandang jawatan Pengerusi BERSATU Johor.

“Kita jangkakan Pengerusi BERSATU Johor yang baharu akan diumumkan Presiden selepas Aidilfitri, namun sebelum pemilihan parti berlangsung.

“Sebelum diumumkan, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, akan membuat surat rasmi lantikan berkenaan, ” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran buku BERSATU Mulanya Di Sini...Johor Bahru, oleh Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Timbalan Pengerusi BERSATU Johor, Senator Nasir Hashim.

Semalam, BH melaporkan Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Mazlan Bujang, yang digugurkan minggu lalu, dikatakan dilantik menjadi Pengerusi BERSATU Johor.

Menurut sumber BH, pelantikan Mazlan sebagai Pengerusi BERSATU negeri itu adalah arahan pucuk pimpinan parti peringkat pusat.

Ditanya siapa bakal dinamakan sebagai Pengerusi BERSATU Johor, Solihan yang juga EXCO Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, berkata beliau tidak boleh mendedahkan perkara itu.

“Lebih molek kita tunggu Presiden umumkan. Bagaimanapun, namanya sudah ada dan kita akur arahan pucuk pimpinan.

“Namun, saya ingin betulkan laporan media semalam yang menyatakan ada undian dalam kalangan ketua bahagian Johor berhubung jawatan itu.

“Sebenarnya, tiada undian dibuat. Semalam hanyalah pertemuan di mana penjelasan diberikan mengenai arahan pucuk pimpinan kepada 22 ketua bahagian yang hadir dan kami menyatakan pandangan masing-masing,” katanya.

Berita Harian X