Ahad, 5 Mei 2019 | 2:50pm
Guan Eng menyampaikan Ucapan Dasar pada Persidangan DAP 2019 di Shah Alam. - NSTP/Saddam Yusoff
Guan Eng menyampaikan Ucapan Dasar pada Persidangan DAP 2019 di Shah Alam. - NSTP/Saddam Yusoff

Pindaan Perlembagaan DAP untuk perkasakan parti

SHAH ALAM: Pindaan Perlembagaan DAP yang menjadi antara agenda Persidangan DAP yang berlangsung hari ini, bakal memperkasakan parti itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata langkah itu susulan DAP hampir dibatalkan pendaftarannya pada 2012 dan 2017 selepas pemilihan parti serta pemilihan semula yang dibuat ketika itu dibatal oleh Jabatan Pendaftar Persatuan (ROS).

Beliau mengakui bahawa sehingga awal tahun lalu, beliau dan rakan dalam parti bimbang parti itu akan terbubar.

“Sebagai sebuah parti politik, pertumbuhan organik DAP dibantutkan oleh gangguan daripada ROS. Masa itu pemilihan CEC dibatalkan. Tetapi akhirnya dengan sokongan ahli, DAP berjaya mengadakan pemilihan semula dan berjaya menyelamatkan parti.

“Dalam keadaan tertekan ini kita boleh membantu Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa susulan pilihan raya umum,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar di Persidangan DAP 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya.

Guan Eng berkata, antara perkara yang akan dicadangkan dalam pindaan perlembagaan parti berkenaan adalah untuk melantik sekurang-kurangnya 30 peratus wakil wanita dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Katanya, DAP percaya kepada pemerkasaan wanita dan mahu membabitkan mereka dalam semua proses membuat keputusan.

“Wanita DAP akan diamanahkan kepada ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat dalam masa terdekat. Pada masa ini, DAP mempunyai 20 peratus Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita, jumlah terbesar dalam kalangan semua parti politik di Malaysia.

“Kira-kira 30 peratus Ahli Parlimen DAP berusia bawah 40 tahun, dan 40 peratus ADUN DAP berusia bawah 40 tahun. DAP berazam untuk melihat lebih ramai pemimpin muda di setiap peringkat pimpinan bagi memastikan parti ini sentiasa segar dengan idea baharu,” katanya.

Guan Eng berkata, bilangan keanggotaan CEC akan ditambah daripada 30 ahli kepada 40 ahli termasuk lantikan.

“DAP baharu harus membina kapasiti pimpinan yang efektif dan dikenali secara kolektif sebagai sebuah parti yang sinonim dengan integriti, keberanian, idealisme dan idea,” katanya.

Guan Eng berkata, walaupun ramai wakil rakyat DAP kini memegang jawatan di peringkat Persekutuan dan negeri, mereka diingatkan untuk melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik.

“Jangan anggap jawatan ini hak kita. Anggap ini sebagai satu tugas dan amanah yang kita harus laksanakan dengan baik.

“Saya sebagai Setiausaha Agung tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin yang tidak menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Berita Harian X