Rabu, 8 Mei 2019 | 1:09pm
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan, Vivian Wong Shir Yee bertemu pengunjung dan peniaga semsa berkempen di Pasar Umum Sandakan. - Foto Khairull Azry Bidin

PRK Sandakan bakal buktikan pendirian tegas rakyat Sabah - Shafie

SANDAKAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada Sabtu ini akan membuktikan kebijaksanaan dan pendirian tegas rakyat Sabah bagi mempertahankan kerajaan.

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau yakin PRK itu mampu menterjemahkan satu sejarah dan membuktikan bahawa pilihan raya di Sabah adalah berbeza berbanding PRK di negeri lain.

Katanya, sambutan rakyat terhadap calon DAP, Vivian Wong Shir Yee yang mudah didampingi pengundi, selain kerja keras jentera pilihan raya melakukan lawatan rumah ke rumah untuk mendekati pengundi mampu memastikan kemenangan calon dalam PRK itu.

“Saya yakin kita rakyat Sabah dan pengundi Sandakan khususnya punya pendirian yang tegas, bukan mudah diperalatkan.

“Pengundi Sandakan bukan mudah dibeli dengan duit, bukan boleh disogok hanya dengan kata-kata, mereka pengundi bijaksana,” katanya kepada pemberita selepas melakukan Program Walkabout bersama Shir Yee di Pasar Umum di sini, hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan, Vivian Wong Shir Yee bertemu pengunjung dan peniaga semsa berkempen di Pasar Umum Sandakan. - Foto Khairull Azry Bidin

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri juga sedar banyak masalah dihadapi rakyat di daerah ini dan ia adalah saki baki daripada pemerintahan terdahulu yang perlu diperbaiki termasuk aspek ekonomi penduduk.

Ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), katanya, keadaan ekonomi Sandakan yang juga dikenali sebagai ‘Little Hong Kong’ memorandum kesan krisis ekonomi selain penyelewengan BN.

“Kita mahu perbetulkan supaya keadaan ekonomi kita berkembang semula dan antara pendekatannya adalah bangunkan kilang perabot dan ‘barter trade’ (perniagaan tukar barang) yang dihapuskan kerajaan dulu, kita akan hidupkan sedikit masa lagi.

“Barter trade masih berlangsung, cuma ada masalah sikit saja iaitu kapal dari negara Filipina yang perlu pendekatan dan spesifikasi betul mengikut perdagangan antarabangsa,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan peniaga di pasar umum itu, Mohd Shafie berkata, antara aduan mereka adalah daripada segi prasarana di pasar itu dan harga barang.

“Insya-Allah prasarana di sini akan ditambah baik. Tapi jauh lebih penting daripada itu adalah harga barang yang perlu ditangani dengan baik,” katanya.

Berita Harian X