Khamis, 20 Jun 2019 | 3:22pm
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang baharu, Ir. Khairil Nizam Khirudin (kiri) menerima ucapan tahniah daripada bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi (tengah), pada Muktamar Dewan Pemuda PAS di Bukit Gambang Resort City. - Foto Farizul Hafiz Awang
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang baharu, Ir. Khairil Nizam Khirudin (kiri) menerima ucapan tahniah daripada bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi (tengah), pada Muktamar Dewan Pemuda PAS di Bukit Gambang Resort City. - Foto Farizul Hafiz Awang

MUKTAMAR DEWAN PEMUDA: Khairil Nizam terajui Pemuda PAS

KUANTAN: Bekas Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Khairil Nizam Khirudin, dipilih menerajui kepimpinan DPPP menggantikan Muhammad Khalil Abdul Hadi yang tidak mempertahankan jawatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh, ketika mengumumkan keputusan pengundian yang berlangsung semalam, berkata Khairil Nizam menang tanpa bertanding.

Ahmad Fadhli Shaari yang sebelum ini menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda, dipilih menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Pemuda.

Tempat Ahmad Fadhli yang memenangi jawatan terbabit tanpa bertanding, diisi oleh Afnan Hamimi Taib Azamudden yang turut diumumkan sebagai menang tanpa bertanding.

Kerusi Pengerusi Tetap kekal milik Kamal Ashaari yang menang tanpa bertanding manakala Timbalan Pengerusi Tetap disandang oleh Nor Azariza Mohd Alawi.

“Daripada 721 perwakilan yang hadir pada muktamar kali ini, hanya 568 undi dicetak dan 567 undi diterima, satu undi tidak dipulangkan.

“Bantahan terhadap keputusan boleh dilakukan dalam tempoh dua minggu,” katanya pada Muktamar Tahunan DPPP ke-60 di Bukit Gambang Resort City, di sini, hari ini.

Antara Jawatankuasa Kerja yang berada dalam pentadbiran DPPP ialah Akram Ikrami Taib Azamudden, Mohd Hafez Sabri, Muhtar Suhaili, Izwan Abdul Halim, Khairul Nadzir Helmi Azhar, Roslan Md Esa, Mohammad Arifiriazul Paijo dan Mohammad Nadzim Ahmad Azmi.

Berita Harian X