Sabtu, 22 Jun 2019 | 6:29pm
ANTARA perwakilan yang hadir pada Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di Kuantan, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Muktamar PAS lulus usul perjanjian politik dengan UMNO

KUANTAN: Muktamar Tahunan PAS Ke-65, hari ini sebulat suara meluluskan usul memeterai kerjasama dan perjanjian politik dengan UMNO.

Kerjasama dan perjanjian politik yang akan turut dijalin dengan parti politik lain itu, perlu menggariskan panduan asas, syarat serta batas kerjasama, manakala hubungan bersama Gagasan Sejahtera diperkasakan.

Hubungan itu bakal dimeterai berlandaskan Fasal 6 Perkara (6) Perlembagaan PAS yang menyatakan parti itu berupaya menyertai dan bekerjasama dengan badan, persatuan atau pertubuhan.

Ia bagaimanapun tertakluk kepada asas bahawa hubungan itu mustahak dan sesuai, selain tidak berlawanan dengan tujuan PAS serta bercanggah terhadap undang-undang negara.

Kali terakhir PAS mengadakan perjanjian politik ialah bersama DAP pada 2008 sebelum diakhiri pada 11 Julai 2015, selepas mendakwa berlaku perlanggaran syarat.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Mohd Asri Mat Daud, ketika membentangkan usul itu, berkata perjanjian politik sudah lama menjadi amalan dalam Islam, malah dimeterai Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai penganut agama lain.

“Memeterai kerjasama dan perjanjian politik ialah perkara biasa, demi satu tujuan iaitu memartabatkan serta mengangkat Islam ke darjat tertinggi.

“Justeru, Dewan Ulama menggesa kepemimpinan tertinggi dan Majlis Syura Ulama PAS memeterai kerjasama dan perjanjian politik dengan UMNO sekarang,” katanya ketika membentangkan usul yang turut dikemukakan enam PAS Kawasan, hari ini.

Enam kawasan berkenaan adalah Pandan, Kota Raja, Serdang, Kuala Pilah, Sungai Besar dan Temerloh.

Wakil PAS Rembau, Bazli Bakar, ketika membahaskan usul terbabit menyifatkan wujud jurang perbezaan besar mengenai makna kerjasama dan perjanjian politik.

Sehubungan itu, katanya, kepemimpinan PAS perlu mengemukakan penjelasan kepada ahli parti bagi mencerminkan aspek ketelusan dalam memeterai kerjasama dengan UMNO.

Wakil PAS Bangi, Shafie Ngah, berkata antara aspek garis panduan yang perlu diteliti dalam memeterai kerjasama dengan UMNO ialah berhubung batas dan pengurusan organisasi.

“Jangan sampai rumah tangga dimasuki orang dan sebaliknya apabila kita sudah memeterai kerjasama dan perjanjian politik dengan UMNO,” katanya.

Berita Harian X