Ahad, 23 Jun 2019 | 12:31pm
BEKAS Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi. - Foto Ghazali Kori

Khalil Hadi tersenarai AJK PAS Pusat

KUANTAN: Bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi, dipilih menganggotai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat bagi tempoh dua tahun akan datang.

Beliau antara 18 AJK baharu yang dipilih bagi sesi 2019-2021 yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh pada Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-65 di Stadium Tertutup SUKPA di sini, hari ini.

Muhammad Khalil yang juga anak kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berada di tangga teratas dengan 956 undi.

Anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, turut tersenarai mengekalkan jawatan.

Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS masing-masing kekal disandang Hadi dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, tanpa bertanding.

Tiga kerusi Naib Presiden disandang oleh Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengekalkan jawatan, manakala Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, tampil sebagai muka baharu.

Ketiga-tiganya menang tanpa bertanding selepas seorang lagi calon, Datuk Iskandar Abdul Samad, menolak pencalonan.

Mohd Fuad berkata, seramai 1,230 perwakilan layak mengundi bagi pemilihan AJK Pusat itu dan 1,136 kertas undi diterima.

Berita Harian X