Ahad, 23 Jun 2019 | 7:36pm

PKR tak minta isu peralihan disegerakan

PETALING JAYA: PKR tidak pernah menggesa atau meminta supaya peralihan jawatan Perdana Menteri diberi keutamaan dan disegerakan seperti dakwaan pelbagai pihak sebelum ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya berkata ketika ini parti perlu memberi maklum balas mengenai isu peralihan itu memandangkan ia banyak kali ditanya dan dibangkitkan termasuk oleh media

“Secara seriusnya, tidak (peralihan kuasa sebagai isu utama PKR). Ini sudah diselesaikan dalam pertemuan mingguan saya dengan Perdana Menteri, saya berpuas hati. Saya tidak mempunyai sebarang keraguan bahawa peralihan akan berlaku.

“Beliau (Dr Mahathir) sangat jelas dan jujur, perbincangan berjalan sangat baik. Tidak perlu bagi kita untuk berkongsi isu yang kami sudah persetujui kerana ia adalah perjanjian yang sudah dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan Pusat PKR di ibu pejabat parti di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab pertanyaan media mengapa isu peralihan jawatan Perdana Menteri dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR hari ini.

Anwar berkata, setakat ini PKR berpuas hati dengan rancangan peralihan jawatan Perdana Menteri seperti mana yang termaktub dalam dokumen muafakat Pakatan Harapan (PH) yang disepakati semua pimpinan utama PH sebelum ini.

“Ketetapan mengenai peralihan jawatan utama kerajaan itu dipertahankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Majlis Presiden PH sebelum ini,” katanya.

Anwar juga mengulangi komitmennya bahawa PKR akan menyokong kepemimpinan Dr Mahathir untuk meneruskan usaha beliau dan jemaah menteri memacu ekonomi, melaksana reformasi institusi dan menjamin keselamatan negara.

Mengulas isu video seks membabitkan pemimpin PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz, Anwar mengulangi bahawa parti itu menolak politik jijik dan siasatan kini di bawah kendalian lembaga disiplin parti.

“Kami tidak berminat untuk mempersoalkan atau membincangkan kandungannya. Saya fikir isu kehadiran (Datuk Seri Mohamad Azmin Ali) ke mesyuarat juga adalah isu yang berasingan, “katanya ketika ditanya mengapa Azmin tidak hadir dalam mesyuarat PKR kebelakangan ini.

Dalam pada itu, beliau berkata PKR memberi penekanan terhadap reformasi ekonomi yang akan membolehkan Malaysia menjadi pusat pemacuan pembangunan ekonomi yang pesat melalui pelaburan domestik dan asing berkualiti.

“Misalnya, dengan mengambil peluang pergolakan pasaran dunia untuk mempelawa iPhone bertapak di Malaysia, yang akan memanfaatkan rakyat secara langsung serta menjadikan negara ‘Harimau Asia’ semula,” katanya.

Anwar (dua dari kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan Pusat PKR di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Anwar (dua dari kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan Pusat PKR di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X