Ahad, 30 Jun 2019 | 4:41pm
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid umum kembali bertugas sebagai Presiden UMNO

IPOH: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mengumumkan menamatkan cutinya daripada tugas Presiden sejak 18 Disember tahun lalu dan kembali menjalankan tugas Presiden UMNO berkuatkuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan Ahmad Zahid ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini.

“Saya ingin mengumumkan bahawa saya menamatkan cuti rehat sebagai Presiden UMNO mulai hari ini, bererti bahawa mulai hari ini saya akan terus menyambung tugas saya sebagai Presiden UMNO Malaysia.

“Biarpun 80 pertuduhan dikenakan kepada saya, biarpun yang akan datang mungkin 800 pertuduhan,” katanya dalam satu petikan ucapan selama kira-kira 48 saat ketika berucap pada majlis berkenaan, yang mulai viral di media sosial dan turut disiarkan di laman Facebooknya hari ini.

Perkara itu turut disahkan bekas Setiausaha Akhbar beliau, Datuk Fadzlette Othman Merican, ketika dihubungi hari ini.

Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid selepas Wacana U3.0 ‘Sesi Hati Ke Hati Bersama Presiden UMNO’ bersetuju menyerahkan tugasnya kepada Datuk Seri Mohamad Hasan selaku timbalannya.

Tindakan itu dibuat atas alasan demi keutuhan parti serta demi kepentingan pimpinan pada semua peringkat terutama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan UMNO Bahagian.

Berita Harian X