X
Isnin, 8 Julai 2019 | 2:44pm
Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto NSTP
Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - Foto NSTP

UMNO wajar pertimbang pelawaan Dr M - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Pemimpin tertinggi UMNO wajar menimbang pelawaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mahu parti politik Melayu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Bekas Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sebarang pelawaan atau kerjasama yang menjurus ke arah menyatukan orang Melayu, perlu dipertimbangkan.

“Dalam perkara berkaitan perpaduan, terutamanya perpaduan Melayu, kita jangan takbur dan sombong.

“Jangan angkuh kerana orang sedang memerhatikan kita, bukan sahaja UMNO dan PAS, tapi juga pihak yang menawarkan kerjasama antara kita.

“Sebarang usaha ke arah perpaduan untuk maju ke depan, perlu kita pertimbangkan. (Dalam soal ini) kita perlu berhenti berpolitik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelawaan Dr Mahathir yang mahu parti politik Melayu, termasuk UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, perkara yang perlu dipertimbangkan pemimpin UMNO adalah sama ada pelawaan Dr Mahathir itu baik untuk negara atau sebaliknya.

“Kalau ia boleh membantu mengurangkan politik, Alhamdulillah. Jika ia mengeruhkan keadaan, siapa pula yang akan melihat kepada ekonomi negara.

“Perkara ini perlu diputuskan parti, saya tidak ada jawatan tinggi dalam parti. Tetapi dalam kita nak buat pendirian, jangan kita dilihat angkuh, takbur kerana tidak ada mana-mana pihak berada dalam kedudukan yang kukuh ketika ini.

“Kalau betul mahu, semua pihak perlu ikhlas, daripada wajah dan cara pembawaan yang jujur, serta mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X