Sabtu, 20 Julai 2019 | 4:58pm

BERSATU jangan jadi seperti UMNO - Tun M

SERDANG: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad mahu ahli parti mengenepikan perjuangan untuk diri sendiri atau untuk menjadi wakil rakyat, sebaliknya berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

Beliau berkata, perjuangan asal demi agama, bangsa dan negara yang kemudian berubah menjadi perjuangan untuk diri sendiri dan keluarga, akan menyebabkan mereka ditolak.

Dr Mahathir berkata, keadaan itu dapat dilihat dalam UMNO yang pada mulanya setia kepada perjuangan, tetapi lama kelamaan, pemimpinnya mengutamakan kepentingan diri daripada agama, bangsa dan tanah air.

Katanya, perjuangan yang berubah itu menyebabkan rakyat menolak sehingga kerajaan terdahulu jatuh.

“Parti kita jangan jadi macam ini. Kita berjuang atas perjuangan bukan untuk diri sendiri. Kita perlu ingatkan diri, rakyat tak akan sokong perjuangan untuk diri sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Khas BERSATU, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, antara sebab lain UMNO ditolak rakyat ialah kerana sikap pimpinan di pelbagai peringkat yang menghalang ahli lebih bijak menganggotai jawatankuasa parti.

Bila diwujudkan satu cawangan, beliau berkata, ahli yang menjadi ketuanya tidak mahu melihat orang yang lebih cekap menganggotai jawatankuasa di peringkat cawangan itu.

"Ketua cawangan tidak benarkan orang lebih pandai daripadanya, mereka yang boleh menyertai cawangan itu ialah orang kurang cerdik daripadanya.

“Tetapi kita tidak hidup selama-lamanya dan pengganti nanti sudah pasti orang yang kurang cerdik daripadanya dan begitulah kitarannya," katanya.

Dr Mahathir yang menyifatkan beliau bernasib baik kerana diberi kesempatan melihat perkembangan politik dalam dan luar negara selama 70 tahun, berkata selepas negara merdeka dan kepemimpinannnya diisi, ada perjuangan mula berubah.

"Saya perhatikan individu yang pada awalnya memperjuangkan kemerdekaan dan apabila berjaya, mereka lupa diri. Mereka lupa diri apabila diberikan jawatan dan mahu mengekalkannya. Bila mahu kekalkan jawatan, pelbagai cara digunakan," katanya.

Katanya, ada yang mula berjung untuk diri sendiri dan ketika itu, timbul perasaan bahawa kedudukan dalam parti boleh digunakan untuk kepentingan diri sendiri.

“Kalau jadi wakil rakyat, menteri, maka dapat banyak nikmat. Perjuangan beralih daripada untuk agama, bangsa dan tanah air kepada perjuangan untuk menjadi YB (Yang Berhormat), menteri, perdana menteri pun. Sudah beralih perjuangan.

“Bila ini berlaku, maka berlakulah perkara tak diingini. Masing-masing berusaha mendapat tempat dalam parti untuk diri sendiri, bukan untuk bangsa, agama, negara. Hanya untuk diri sendiri kerana masing-masing ingin dapat tempat menjadi YB, ” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu BERSATU sentiasa mengutamakan perjuangan untuk negara dan ahli-ahlinya pula tidak menyertai parti berkenaan hanya untuk mendapat nikmat bagi diri sendiri.

“Saya nak ingatkan (imbau) sejarah kerana ramai tidak tahu sejarah bagaimana kita berada sekarang adalah hasil perjuangan orang Melayu yang pertama kali dalam politik.

“Masa itu tak ada fikiran untuk diri sendiri, hanya untuk agama bangsa dan negara. Tidak fikir boleh jadi kaya dan berkuasa dalam negara,” katanya.

Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) melaungkan hidup bersatu pada Perhimpunan Agung Khas BERSATU, di Serdang, hari ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X