Jumaat, 16 Ogos 2019 | 7:26pm
Karim meminta semua penyokongnya untuk bertenang selepas pengumuman keputusan mahkamah yang memihaknya kepadanya pada hari ini. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

PRK Kimanis: Karim Bujang sedia dicalonkan

KOTA KINABALU: Bekas calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Datuk Karim Bujang, menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan siapa calon yang akan bertanding sekiranya ada pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan.

Ini susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Kota Kinabalu hari ini yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen Kimanis pada PRU-14 batal dan tidak sah.

Karim berkata, beliau tiada hak untuk menyatakan dia akan menjadi calon untuk kerusi berkenaan.

“Saya adalah calon WARISAN bagi kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya lalu, tapi saya tiada hak untuk menyatakan saya akan menjadi calon lagi.

“Saya serahkan kepada pucuk pimpinan WARISAN untuk memilih siapa yang mereka rasa sesuai jadi calon sekiranya ada pilihan raya nanti. Bagaimanapun, saya sedia (jika dipilih),” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Karim meminta semua penyokongnya untuk bertenang selepas pengumuman keputusan mahkamah yang memihaknya kepadanya pada hari ini.

“Saya berharap penyokong parti tidak terpengaruh dengan mana-mana berita palsu sekiranya PRK berlaku dalam tempoh terdekat ini.

“Walaupun keputusan mahkamah membatalkan kemenangan Anifah (Datuk) tetapi saya berpendapat kes belum selesai sepenuhnya kerana pihak lawan boleh membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Justeru dalam tempoh ini, saya akan beri penerangan kepada penyokong parti supaya bersiap sedia sekiranya ada pilihan raya, kedua jangan dengar berita palsu dan percaya kepada parti serta saluran yang betul,” katanya.

Karim turut menyifatkan pihaknya kini lega dengan keputusan petisyen itu yang mengambil masa lebih satu tahun.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Lee Heng Cheong pada hari ini, membuat keputusan berkenaan selepas pemeriksaan semula ke atas peti undi mendapati ada unsur manipulasi, termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Anifah yang juga bekas Menteri Luar itu memenangi kerusi di Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi dengan keputusan membabitkan 11,942 undi manakala Karim sebanyak 11,786 undi.

Berita Harian X