Sabtu, 17 Ogos 2019 | 7:42pm
Ahmad berucap merasmikan Mesyuarat Agung PKR Cabang Kuala Terengganu di Dewan Bangunan Keadilan Bukit Besar, Kuala Terengganu. - NSTP/Baharom Bakar

Presiden parti juga tidak terlepas daripada siasatan salah laku ahli

KUALA TERENGGANU: Lembaga Disiplin PKR membuka 30 kertas siasatan di atas aduan membabitkan salah laku dan juga tindakan yang boleh mencemarkan imej parti.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim, berkata Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terkecuali apabila ada aduan diterima membabitkan dirinya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan terus melakukan siasatan selepas menerima aduan mengenai salah laku ahli parti, termasuk membabitkan pimpinan tertinggi PKR.

Katanya, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dibebaskan dan tidak dikenakan sebarang tindakan selepas siasatan mendapati aduan dibuat melalui surat layang itu tidak berasas.

“Setakat ini, Lembaga Disiplin PKR membuka 30 kertas siasatan berdasarkan aduan, terutamanya membabitkan isu yang boleh mencemarkan imej parti, tetapi hanya satu kes mempunyai bukti menyebabkan tindakan pemecatan keahlian terpaksa dilakukan.

“Kebanyakan kes diterima adalah berkaitan dengan urusan pentadbiran, termasuk isu perasaan tidak puas hati antaranya pelantikan Ketua Wanita PKR negeri serta ahli jawatankuasa.

“Saya beranggapan semua aduan itu mampu diselesaikan oleh PKR di peringkat negeri,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung PKR Cabang Kuala Terengganu, di Dewan Bangunan Keadilan Bukit Besar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail.

Mengulas pimpinan tertinggi parti yang sudah dikenakan tindakan pemecatan keahlian, Ahmad yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan negeri Kedah, berkata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz sudah dikenakan tindakan dipecat daripada parti.

Ia susulan berkaitan dengan video lucah selepas membuat pengakuan mengadakan hubungan intim yang didakwa dengan seorang menteri kanan.

Ahmad berkata, dakwaan mengatakan Lembaga Disiplin memilih bulu untuk mengambil tindakan adalah tidak berasas dan semua aduan termasuk dakwaan salah laku oleh Anwar pun akan disiasat.

“Mereka yang membuat aduan tanpa menyertakan bukti tidak faham tanggungjawab jawatankuasa Lembaga Disiplin, kita akan siasat dan membuka kertas siasatan, tetapi hasil siasatan akan dikemukakan kepada Biro Politik untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Berita Harian X