Rabu, 21 Ogos 2019 | 9:20pm
PENGERUSI Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim (kiri) pada sidang media selepas mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rayat (PKR), di Ibu Pejabat Keadilan. - Foto Zunnur Al Shafiq

Tiada tindakan disiplin terhadap Mohamed Azmin - PKR

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tidak akan dikenakan tindakan disiplin walaupun disahkan sudah beberapa kali tidak menghadiri mesyuarat parti termasuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim, berkata keputusan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap Mohamed Azmin terletak di bawah bidang kuasa Setiausaha Agung parti.

“Tidak ada surat peringatan yang kita keluarkan kepada Timbalan Presiden sebab dia tidak buat apa-apa (kesalahan) yang perlu kita keluarkan surat minta penjelasan.

“Itu (tidak hadir mesyuarat parti) bukan urusan atau bidang kuasa Lembaga Disiplin, itu urusan Setiausaha Agung,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Damansara, petang tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; Naib Presiden, Chang Lih Kang; dan Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Difahamkan, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak tidak menghadiri lapan mesyuarat parti sejak memenangi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti, tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi sebelum ini menjelaskan beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat parti kerana masanya bertembung dengan program Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, tanggungjawab yang dipikul memerlukan dirinya membahagikan tugas sebagai pemimpin parti politik dan kerajaan.

Ahmad berkata, Lembaga Disiplin parti juga tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Katanya, Lembaga Disiplin PKR berpuas hati dengan jawapan diberikan Amiruddin yang juga Pengerusi PKR Selangor dan Farhash Wafa Salvador selepas diberi surat peringatan susulan mengeluarkan kenyataan tidak wajar berhubung video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.

"Menteri Besar menunjukkan satu sifat baik menghormati kepemimpinan dan menyatakan tidak berhasrat memanjangkan isu ini.

"Beliau lebih berusaha supaya proses perdamaian dan meredakan pertikaian antara kepemimpinan parti. Apa yang beliau curahkan tidak menyentuh mana-mana pihak.

"Begitu juga surat dari Farhash yang menyesali kenyataan beliau dan memohon maaf serta berikrar tidak mengulangi kenyataan itu dan berazam menjaga tatatertib kepemimpinan. Maka, Biro Politik menerima penjelasan kedua-dua pemimpin ini," katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata PKR menyerahkan kepada kerajaan bagi menentukan status Penduduk Tetap (PR) pendakwah bebas, Dr Zakir Naik.

“PKR berharap keputusan penentuan status PR Dr Zakir dibuat mengikut jalur hukum dan persoalan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, PKR juga meminta semua pihak menghormati sensitiviti semua kaum dan rakyat.

“Kenyataan seperti menghina tentera baru-baru ini tidak harus diulangi,” katanya.

Berita Harian X