Jumaat, 23 Ogos 2019 | 5:21pm
PENGERUSI Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Azan Ismail.
PENGERUSI Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Azan Ismail.

Bukan boikot Anwar

KUALA TERENGGANU: PKR negeri menafikan dua acara membabitkan dua kementerian yang masing-masing akan dirasmikan menteri dan timbalan menteri di negeri ini adalah usaha memboikot program jelajah Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut diadakan esok.

Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail, berkata dua acara serentak membabitkan Kementerian Kesihatan serta Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) bukan bertujuan memboikot program jelajah Anwar ke negeri ini esok.

Beliau berkata, program jelajah presiden adalah acara politik dan tiada kaitan dengan acara rasmi kerajaan dianjurkan dua kementerian itu, walaupun ia diadakan serentak.

“Program jelajah presiden hanya membabitkan ahli serta pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (PH), termasuk pimpinan PKR dan tidak membabitkan penjawat awam.

“Saya tidak menganggap dua aktiviti kementerian yang diadakan serentak dengan program jelajah presiden esok untuk memboikot lawatan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson ke negeri ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Azan berkata demikian mengulas pertembungan program jelajah presiden dengan dua acara membabitkan dua kementerian yang diadakan di lokasi berasingan esok.

Kementerian Kesihatan akan menganjurkan Program Kampungku Sihat dan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Jabatan Kesihatan negeri dirasmikan Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Dataran Batu Buruk, di sini.

Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) turut menganjurkan pelbagai program termasuk Jom Jumpa Rukun Tetangga Peringkat negeri di daerah Marang serta Hulu Terengganu membabitkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Azan berkata, program jelajah presiden dijangka disertai 1,000 orang dan membabitkan ahli PH, golongan peneroka dan belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Berita Harian X