Jumaat, 23 Ogos 2019 | 8:17pm
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah. - Foto Mohd Yusni Ariffin

UMNO, PAS diminta jelaskan isu tanah rizab Melayu lenyap

KUALA TERENGGANU: UMNO dan PAS dituntut menjawab isu kedudukan tanah rizab Melayu di Terengganu yang semakin lenyap apabila sehingga kini hanya tinggal 0.003 peratus atau kurang 100 hektar yang masih ada.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, berkata laporan media mengenai tanah rizab Melayu Terengganu amat mengejutkan apatah lagi 97 peratus penduduk negeri itu adalah Melayu.

Beliau berkata, lebih menyedihkan, bukan hanya tanah rizab Melayu semakin hilang di Terengganu, tetapi juga kampung tradisi serta warisan Melayu negeri turut lenyap.

“Rakyat Terengganu hanya mengenali PAS dan UMNO sebagai pemerintah di negeri ini sepanjang 62 tahun lalu. Kerajaan hanya bertukar tangan di antara dua parti ini di mana PAS mendakwa memperjuangkan Islam, sementara UMNO pembela Melayu.

“Persoalan utama sekarang bagaimana negeri yang dikuasai oleh dua parti pejuang Islam dan Melayu dengan rakyat 97 peratus Melayu hanya tinggal 0.003 peratus tanah rizab Melayu?

“Lebih mengejutkan lagi ialah bahagian warisan di bandar raya ini yang paling menarik dipelihara ialah Kampung Cina, tetapi kampung tradisi Melayu hampir tidak lagi wujud.

“Kampung tradisi Melayu Ladang dan Tanjung hampir habis dirobohkan dengan tinggal hanya lebih kurang 20 peratus sahaja yang kekal. Semua bangunan tradisi klasik Melayu di bandar raya ini sudah dirobohkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mempersoalkan apakah usaha pejuang Melayu Islam dari UMNO dan PAS selama ini selain hanya bercakap kosong memperjuangkan hak Melayu.

“Dengan kerjasama dan gabungan UMNO-PAS ketika ini, mengapa nasib tanah rizab Melayu dan orang Melayu sendiri semakin menyedihkan? Siapakah yang harus dipersalahkan?

“UMNO dan PAS perlu menjawab isu ini kerana di Terengganu isu tanah rizab Melayu terancam memang nyata dan amat serius.

“Sebelum mereka terus menjaja isu Melayu tergugat atau terancam, mereka mesti terdahulu mencerminkan diri sendiri dan menjawab persoalan di negeri yang mereka perintah secara bergilir sejak 62 tahun dahulu,” katanya.

Sebelum ini Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail berkata, kedudukan tanah rizab Melayu di Terengganu semakin membimbangkan apabila sehingga kini hanya tinggal 0.003 peratus atau kurang 100 hektar yang masih ada.

Beliau berkata, jumlah sepatutnya adalah sekitar 12 hingga 15 peratus tanah rizab Melayu di setiap negeri, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keadaan itu amat kritikal dan perlu segera diatasi berikutan kawasan tanah rizab Melayu di negeri ini terlalu kecil berbanding jumlah keluasan tanah negeri 1.295 juta hektar.

Berita Harian X