Ahad, 25 Ogos 2019 | 12:48pm
PRESIDEN Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

PH yakin WARISAN tawan Parlimen Kimanis

KANGAR: Pakatan Harapan (PH) yakin Parti Warisan Sabah (WARISAN) mampu menawan Parlimen Kimanis sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu diadakan.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, berkata ini kerana momentum kemenangan PH pada PRK Sandakan pada Mei lalu, mampu menarik aura kemenangan di kerusi yang sebelum ini dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Anifah Aman.

“Jika dilihat di Sabah tiada sentimen atau politik perkauman berlaku di sana, dan berdasarkan PRK Sandakan, kita yakin WARISAN menang besar jika jadi PRK.

“Dahulu (Pilihan Raya Umum Ke-14) WARISAN cuma kalah tipis sahaja pada Anifah, jadi kita mengharapkan kemenangan di sana bagi memberi sokongan kuat dan padu kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” katanya ditemui pada Majlis Mesyuarat Tahunan AMANAH Perlis di sini, hari ini.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Anifah di kerusi Parlimen Kimanis kerana didapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Lee Heng Cheong yang mendapati kesilapan pada semua kotak undi yang mempunyai unsur manipulasi termasuk kertas undi tambahan yang melanggar undang-undang pemilihan.

Ketika ditanya mengenai prestasi PH ketika ini, Mohamad berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian kerajaan dan masalah yang timbul ketika ini adalah kerana tuduhan dan sentimen melampau dimainkan pembangkang.

“Kita boleh lihat dahulu ketika DAP mengambil alih kerajaan negeri Pulau Pinang, hampir setiap minggu ada demonstrasi di bawah pejabat Ketua Menteri.

“Bagaimanapun, akhirnya Pulau Pinang berjaya mengekalkan kerajaan sehingga ke hari ini dengan membuktikan bahawa tohmahan yang dilemparkan tidak benar sehingga demonstrasi yang kerap berlaku dahulu sudah menjadi majlis penyerahan memorandum,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata pihaknya memandang serius perbezaan fahaman dan perkauman yang berlaku dalam negara serta dilihat mampu membawa kepada keadaan di Asia Barat.

Berita Harian X