Ahad, 25 Ogos 2019 | 7:18pm
MENTERI Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua, kanan) melihat dengan lebih dekat buku wang saku yang dipamerkan ketika melawat ruang pameran selepas perasmian pameran LATerasi Kewangan di Muzium Negeri. - Foto BERNAMA

Kerajaan negeri pertahan tanah rizab Melayu diambil UMNO

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menggunakan pelbagai kaedah mempertahan tanah rizab Melayu walaupun belum dapat meminda Enakmen Tanah Rizab Melayu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaan akan mengumumkan kepada rakyat kaedah akan dilakukan untuk mempertahankan kedudukan tanah rizab Melayu di negeri ini yang didakwa semakin susut.

Beliau berkata, pindaan enakmen hanya boleh dilakukan dan mendapat kelulusan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada sidang Dewan Undangan negeri (DUN).

“Kita belum bincang isu berkaitan pindaan enakmen tetapi pelbagai kaedah akan digunakan untuk mempertahankan kedudukan tanah rizab Melayu dan kita akan maklumkan kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan Pameran LATerasi Kewangan di di sini, hari ini.

Turut hadir Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya dan Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid (Datuk Lat).

LATerasi Kewangan ialah pameran karikatur hasil karya tersendiri Datuk Lat dari 1999 hingga 2012 yang diterbitkan dalam 14 siri Buku Wang Saku keluarga Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyemai tabiat menabung dan mengurus wang secara berhemah sejak usia muda.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah yang menuntut UMNO dan PAS menjawab isu kedudukan tanah rizab Melayu di Terengganu yang semakin sedikit.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, sehingga kini hanya tinggal 0.003 peratus atau kurang 100 hektar tanah rizab Melayu yang masih ada di Terengganu, sedangkan 97 peratus penduduk negeri ini ialah Melayu.

Ahmad Samsuri berkata, kedudukan kawasan tanah rizab Melayu di Terengganu memang sangat rendah jika dibandingkan dengan negeri lain seperti Pahang yang mempunyai 12.41 peratus tanah rizab Melayu; Kelantan (31.82 peratus); Kedah (31.86 peratus) dan Perak (43.50 peratus).

Sebelum ini Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail mendedahkan kepincangan isu tanah rizab Melayu di negeri ini didakwa berpunca daripada pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang meminda Enakmen Tanah Rizab Melayu pada 2015 dan 2016.

Beliau berkata, DUN ketika itu meluluskan usul pindaan enakmen itu membolehkan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu menjadi badan yang boleh dipindahkan tanah rizab Melayu Terengganu kepadanya.

Berita Harian X