Jumaat, 6 September 2019 | 5:43pm

UMNO, PAS perlu sedia umum pembahagian kerusi lebih awal

KUALA LUMPUR: Kepemimpinan tertinggi UMNO dan PAS disaran membincangkan dan mengumumkan lebih awal pembahagian kerusi antara parti itu.

Felo Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ainul Adzellie Hasnul, berkata langkah itu untuk memastikan isu berbangkit termasuk protes senyap dalam kalangan ahli dan penyokong dapat diatasi lebih awal

Saranan itu dikemukakan beliau ketika PAS dan UMNO masih di peringkat awal untuk memeterai piagam pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU), 14 September ini.

“Pengumuman awal kerusi yang bakal ditandingi setiap parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan memudahkan jentera kedua-dua parti bersedia, selain membantu pengundi mengetahui lebih awal dan kedudukan kerusi yang bakal ditandingi parti masing-masing.

“Mana-mana pemimpin di kawasan Parlimen yang tidak ditandingi calon parti mereka boleh membantu parti yang akan bertanding. Ini sebahagian semangat penyatuan ummah antara UMNO dan PAS,” katanya ketika dihubungi.

Ainul Adzellie bagaimanapun tidak melihat akan wujud protes senyap dalam kalangan ahli dan penyokong PAS kerana ramai yang sudah mula menerima penyatuan kedua-dua parti.

Malah, beliau berkata, piagam yang akan ditandatangani Presiden UMNO dan PAS nanti akan memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua parti itu.

Sebelum ini Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli dan penyokong PAS berhubung usaha dua parti pembangkang itu memeterai piagam kerjasama dengan UMNO.

Timbalan Pengerusi Biro Dakwah AMANAH, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, dilapor berkata protes senyap itu berlaku hampir seluruh negara berikutan peringkat akar umbi PAS tidak boleh menerima bentuk kerjasama dengan parti yang menjadi lawan sejak 60 tahun lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Meru, berkata ada pihak mendakwa penyatuan ummah itu dilaksanakan tanpa persetujuan akar umbi PAS.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang terbabit dalam Jawatankuasa Perunding PAS-UMNO termasuk menyiapkan draf piagam itu, menegaskan kerjasama terbabit masih di peringkat awal.

Beliau berkata, sebagaimana disebutkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, minggu lalu, kedua-dua parti itu kini di peringkat awal menjalinkan muafakat dan kerjasama.

“Kami belum sampaikan ke peringkat merangka strategi PRU dan pembahagian kerusi secara strategik,” katanya.

Berita Harian X