Jumaat, 6 September 2019 | 6:33pm
PROF Dr Zainal Abidin Kidam

'Status quo' di kawasan parlimen sedia ada

KUALA LUMPUR: Seorang penyelidik PAS mencadangkan supaya partinya dan UMNO mengekalkan ‘status quo’ pemilikan kerusi di kawasan parlimen yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam formula pembahagian kerusi menjelang PRU-15.

Ini bermakna, selepas ditolak kerusi parlimen yang kini disandang PAS iaitu 18 dan UMNO, 38, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Prof Dr Zainal Abidin Kidam, berkata hanya 166 kerusi parlimen yang akan terbabit dalam pembahagian.

Beliau berkata PAS juga perlu realistik dengan tidak menuntut kerusi sama rata bagi 166 kawasan berkenaan kerana UMNO masih lagi parti Melayu Islam yang dominan.

“Pembahagian kerusi perlu dibuat berasaskan keadaan itu. Prinsip sama rata untuk PAS mendapat jumlah kerusi yang sama banyak tidak boleh dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun beliau menyifatkan tiada keperluan untuk membincang dan mengumumkan pembahagian kerusi lebih awal kerana ia bukan faktor kemenangan gabungan itu pada PRU-15.

Ketika ini BN mempunyai 40 kerusi Parlimen daripada 79 kerusi yang dimenangi pada PRU-14, dengan UMNO menguasai 38 kerusi, manakala MCA dan MIC masing-masing memiliki satu kerusi.

PAS pula memenangi 18 daripada 158 kerusi Parlimen yang ditandingi parti itu dan rakan sekutu dalam Gagasan Sejahtera.

Beliau berkata kesediaan menyerahkan sebahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada rakan sekutu juga dijangka menjadi sebahagian daripada formula penentuan kerusi antara kedua-dua parti.

Bagaimanapun, katanya bagi kawasan DUN, setiap parti perlu bersedia melepaskannya kepada rakan sekutu bersandarkan kepada konsep ‘memberi dan menerima’ dan situasi menang-menang.

“Seperti di Terengganu dan Kelantan, kemungkinan besar kerusi Parlimen tidak berubah tetapi kerusi DUN mungkin berubah.

“Ini kerana kita mahukan di Terengganu dan Kelantan ada EXCO dalam kalangan wakil rakyat UMNO, begitu juga di tempat lain dengan harapan kita boleh menang jika kita bersama di peringkat pusat dan negeri,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Zainal Abidin berkata, walaupun isu penentuan kerusi terlalu awal untuk dibincangkan, formula pembahagian itu tidak boleh bersandarkan kepada jumlah kerusi yang dimiliki parti masing-masing ketika ini.

Katanya, kaedah menggabungkan jumlah undi yang diterima dua parti pada PRU-14 di setiap kerusi juga tidak seharusnya diguna pakai kerana ia bakal ‘memakan diri’ jika satu parti menarik diri.

“PAS bersama UMNO bukan sebab kerusi semata-mata. PAS sangat mengharapkan kesatuan ummah akan membawa kebaikan kepada Islam,” katanya yang menjangkakan perbincangan mengenai kerusi akan dilaksanakan sebaik piagam dimeterai 14 September ini.

Berita Harian X