Sabtu, 7 September 2019 | 1:55pm
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Ir. Izham Hashim. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Penyatuan PAS-UMNO boleh gugat emosi kaum

BANGI: Naratif penyatuan ummah mengikut konteks UMNO dan PAS disifatkan sebagai agenda berbahaya kepada masyarakat majmuk di negara ini.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Izham Hashim, berkata naratif penyatuan kedua-dua parti itu hanya akan menggugat emosi perkauman.

Katanya, UMNO dan PAS tidak mempedulikan kesan yang bakal timbul kepada masyarakat menerusi agenda penyatuan demi mengejar cita-cita politik untuk kembali memerintah negara.

“Ini bukan usaha atau agenda yang boleh dipandang ringan. Agenda ini akan mereka bina dan teruskan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang dan seterusnya.

“Ini bahaya kerana mereka tidak ada rasa malu dan segan untuk membuat apa saja asalkan cita-cita politik tercapai.

“Walaupun agenda dibawa boleh menyebabkan perbalahan, pergeseran berpanjangan antara kaum dan agama,

mereka tidak peduli.

“Jangan kita biarkan naratif ini berpanjangan tanpa menyediakan penyelesaian mewakili konsep ‘rahmatan lil alamiin’ (rahmat untuk semua),” katanya ketika merasmikan Konvensyen Wanita AMANAH (AWAN) Selangor di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua AWAN Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua AWAN Selangor, Rawiyiah Zakaria.

Izham berkata, AMANAH memikul tanggungjawab besar untuk mendepani naratif UMNO-PAS, terutama menangani isu sentimen perkauman dan agama yang timbul ketika ini.

JIka tidak ditangani dengan betul dan tepat, katanya, ia boleh menggugat agenda Malaysia Baharu yang didukung Pakatan Harapan (PH).

“Kita akan menjadi penyelamat bersama rakan dalam PH dalam membangunkan Malaysia yang lebih harmoni dan aman,” katanya.

Berita Harian X