Khamis, 12 September 2019 | 5:03pm
SAIFUDDIN Nasution (kiri) menunjukkan lori Food Bank Malaysia pada Majlis Penyerahan Chiller Truck kepada Yayasan Food Bank Malaysia di kementeriannya hari ini.Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Muez Abd Aziz (dua, kiri). - Foto BERNAMA

Jumpa luar mesyuarat parti budaya tidak sihat

PUTRAJAYA: Permintaan sesetengah pihak yang mahu berjumpa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar mesyuarat adalah satu budaya yang sangat tidak sihat untuk parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Anwar adalah pemimpin untuk semua ahli dan beliau bukan ketua bagi puak tertentu dalam parti itu.

“Permintaan untuk berjumpa di luar mesyuarat adalah satu tindakan tidak sihat untuk parti dan organisasi. Anwar perlu diterima sebagai Presiden parti terbesar kerusi dalam kerajaan hari ini.

“Adalah lebih baik kita hormati kedudukan itu. Jadi, kita kekal dengan keputusan sebelum ini iaitu menolak permintaan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan 14 unit trak pendingin kepada Yayasan Food Bank Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang bertegas mahu berjumpa dengan Anwar dan pemimpin parti yang dipilih sahaja.

Pada 3 September lalu, Saifuddin Nasution menolak permintaan Zuraida untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu dalaman parti berkenaan.

Anwar pula menyifatkan isu surat yang dihantar oleh Zuraida itu sebagai remeh dan sebaliknya menyarankan Zuraida menghadiri mesyuarat parti.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, beliau telah diarahkan oleh Anwar untuk menjawab surat kedua dan ketiga yang dihantar oleh Zuraida bagi mengadakan perjumpaan itu.

“Surat pertama saya sudah jawab, isu kandungan semua surat itu adalah sama. Jadi, saya juga dipandu oleh Anwar untuk memberi jawapan kepada surat-surat berkenaan.

“Jawapan balas sudah diserahkan kepada pengirim surat berkenaan. Jadual mesyuarat biro politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) juga dikepilkan bersama sekiranya beliau terlupa,” katanya.

Berita Harian X