Khamis, 19 September 2019 | 4:21pm
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

'Ada aduan rasmi, kita siasat'

KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin PKR sedia menyiasat kegagalan beberapa pemimpin parti itu menghadiri mesyuarat termasuk Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) tanpa mengemukakan alasan munasabah.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim, berkata siasatan hanya boleh dilakukan apabila pihaknya menerima aduan rasmi.

“Kalau orang rujuk (pemimpin gagal hadir mesyuarat), baru saya buat tindakan tetapi setakat ini belum ada apa-apa.

“Sila hantar (aduan) ke Lembaga Disiplin dan kita akan teliti mengikut kes,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fasal 41.3 Perlembagaan PKR menyatakan Lembaga Disiplin boleh memulakan siasatan terhadap salah laku disiplin mana-mana anggota parti tanpa perlu aduan dari mana-mana pihak.

Mengulas perkara itu, Ahmad berkata, adalah lebih baik aduan rasmi dilakukan bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan.

“Ikut perlembagaan parti ya, tetapi lebih terhormat jika ada yang membuat aduan untuk kita teliti,” katanya.

Semalam, Ahli MPP, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, mahu Naib Presiden parti, Zuraida Kamaruddin, dirujuk ke Lembaga Disiplin kerana didakwa melanggar perlembagaan parti apabila sengaja tidak menghadiri mesyuarat.

Abdullah Sani dilaporkan berkata, tindakan disiplin perlu diambil terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu serta beberapa pemimpin lain kerana dikatakan menjejaskan imej parti.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil hari ini mengesahkan Zuraida dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tidak menghadiri mesyuarat Biro Politik malam tadi.

Sementara itu, Fahmi dalam satu kenyataan berkata, PKR mencatat pendaftaran lebih 17,000 ahli baharu dengan 11,000 ahli dari Sabah.

Beliau berkata, mesyuarat malam tadi turut membincangkan keadaan jerebu teruk yang melanda beberapa kawasan dalam negara.

“Keadilan (PKR) berpendirian fenomena jerebu ini perlu dianggap sebagai satu bentuk perang ekologi yang perlu ditangani segera, memandangkan ia menjejaskan ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

“Selain menyokong usaha mempertimbang penggubalan undang-undang bersesuaian, Keadilan turut menyokong usaha kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat yang terbukti terbabit dengan aktiviti pembakaran terbuka yang mengakibatkan fenomena jerebu ini,” katanya.

Berita Harian X