Jumaat, 20 September 2019 | 10:59am
AHLI MPP, Abdullah Sani Abdul Hamid

Buat aduan pemimpin tidak hadir mesyuarat dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Aduan rasmi terhadap beberapa pemimpin PKR yang didakwa sengaja tidak menghadiri mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan dikemukakan kepada Lembaga Disiplin parti itu, dalam masa terdekat.

Ahli MPP, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata beliau akan mengemukakan aduan itu sebelum mesyuarat MPP dijadualkan berlangsung pada 29 September ini.

Katanya, beliau sebelum ini tidak mengetahui perlu membuat aduan rasmi kerana Fasal 41.3 Perlembagaan PKR menyatakan Lembaga Disiplin boleh memulakan siasatan terhadap salah laku disiplin mana-mana anggota parti tanpa memerlukan aduan daripada mana-mana pihak.

“Kalau dari awal saya tahu perlu mengemukakan aduan rasmi, pastinya saya sudah membuat laporan.

“Jika itu diminta Lembaga Disiplin (mengemukakan aduan rasmi), saya akan buat sebelum mesyuarat MPP pada 29 September ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Ahmad Kasim, dilaporkan berkata adalah lebih baik aduan rasmi dilakukan bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan.

“Ikut perlembagaan parti (tanpa perlu aduan dibuat) ya, tetapi lebih terhormat jika ada yang membuat aduan untuk kita teliti,” kata Ahmad.

Sebelum itu, Abdullah Sani mencadangkan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, dan beberapa pemimpin lain dirujuk ke Lembaga Disiplin kerana didakwa melanggar perlembagaan parti apabila sengaja tidak menghadiri mesyuarat.

Ahli Parlimen Kapar itu dilaporkan berkata, tindakan disiplin perlu diambil kerana tindakan kelompok terbabit menjejaskan imej parti.

Katanya, pertelagahan antara kepemimpinan parti hanya boleh diselesaikan di meja rundingan, manakala mesyuarat parti adalah platform terbaik untuk menyelesaikan isu dan krisis dihadapi ketika ini.

Berita Harian X