Ahad, 22 September 2019 | 1:44pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hadir pada Majlis Tenagakita Plogging Trash to Cash Zon 18 di Dewan Orang Ramai Pangsapuri 940 Pandan Indah. - Foto Hafiz Sohaimi

Zuraida bertegas mahu jumpa Anwar

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin bertegas untuk bertemu dengan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum menghadiri semula mesyuarat biro politik mingguan dan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu setiap bulan.

Katanya, pertemuan itu disifatkan penting bagi memberi pandangan dan merangka hala tuju masa hadapan parti berkenaan.

“Kita hanya nak berbincang untuk perkara yang agak sensitif yang tidak boleh dibuat (perbincangan) dalam keadaan yang ramai.

“Saya perlu adakan mesyuarat awal itu dulu. Bila sudah jelas hala tuju, barulah kita sama-sama menggerakkan kerja kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas melancarkan program #tenagakita Plogging Trash To Cash Di Pangsapuri 940 Pandan Indah, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar tidak bersedia untuk berganjak dengan tuntutan Zuraida yang mahu ‘mesyuarat rekonsiliasi’ diadakan antara dirinya dengan mereka yang tidak puas hati terhadapnya.

Sebaliknya, kata Anwar, Zuraida boleh berjumpa dengannya dalam banyak mesyuarat biasa PKR yang dipulaukan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Mengulas kenyataan terkini Anwar berhubung Zuraida, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mengakui tidak mengetahui perkara itu.

“Terkini yang saya baca kenyataan beliau ialah bersedia untuk bertemu.

“Kita tetap nak bertemu (Anwar). Jadi saya ingat (bakal) Perdana Menteri kelapan kena berjiwa besarlah,” katanya.

Media turut melaporkan Ahli MPP, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, mahu mengemukakan aduan kepada Lembaga Disiplin parti berikutan tindakan Zuraida dan beberapa pemimpin PKR yang didakwa sengaja tidak menghadiri mesyuarat biro politik dan MPP.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang ketika diminta mengulas mengenainya bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana menyifatkan perkara itu tidak relevan bagi dirinya.

Sementara itu, diminta mengulas kenyataan Anwar yang dibuat dalam temu bualnya dengan Bloomberg minggu lalu, bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu bakal menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad tahun depan, Zuraida berkata, hanya Allah akan menentukan perkara itu boleh menjadi kenyataan.

“Hanya Allah akan takdirkan perkara itu kerana siapa saja boleh rancang tapi kalau Allah kata tidak, maka tidak dan kalau Allah kata ya, maka ya lah,” katanya.

Berita Harian X