Rabu, 25 September 2019 | 11:20am
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto Asyraf Hamzah

PRK Tanjung Piai: PAS, UMNO akan adakan mesyuarat khas

KUALA LUMPUR: PAS dan UMNO akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi membincangkan isu kerjasama menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata setakat ini, parti itu belum membuat sebarang keputusan berhubung kerjasama yang akan ditawarkan pada PRK berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan perbincangan awal berhubung calon akan diletakkan di kerusi berkenaan.

“Satu mesyuarat bersama antara PAS dengan UMNO akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya kepada BH.

PRK Parlimen Tanjung Piai yang juga PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bakal menjadi medan ujian pertama bagi kerjasama UMNO-PAS selepas memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.

SPR akan bermesyuarat pada 1 Oktober ini berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Tanjung Piai berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, pada Sabtu lalu.

MCA dijangka turut mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) berhubung kekosongan kerusi itu, minggu depan.

Media sebelum ini melaporkan akar umbi MCA mahu parti itu meletakkan calon bertanding walaupun UMNO didakwa mula melobi untuk mendapatkan kembali kerusi itu daripada parti berkenaan.

Pada PRU-14, calon MCA yang juga penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng, tewas tipis kepada Dr Md Farid dengan perbezaan 524 undi dalam pertembungan tiga penjuru, manakala calon PAS, Nordin Othman pula memperoleh 2,962 undi.

Berita Harian X