Rabu, 25 September 2019 | 3:19pm
Pengerusi GERAKAN negeri, Oh Tong Keong (kanan). - Foto Mikail Ong

Tanjung Piai: GERAKAN belum buat keputusan

KUALA LUMPUR: GERAKAN belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor atau sebaliknya.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong, berkata setakat ini, GERAKAN belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai PRK berkenaan, selain menunggu pengumuman terkini daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Agak terlalu awal untuk umumkan sama ada GERAKAN akan bertanding atau tidak pada PRK Parlimen Tanjung Piai, selain fokus utama parti ketika ini adalah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Bagaimanapun, kita masih meneruskan agenda untuk memperkukuhkan kedudukan parti di peringkat akar umbi, keputusan muktamad mengenai PRK ini akan diumumkan nanti,” katanya kepada BH, hari ini.

Kerusi parlimen berkenaan kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, akibat serangan jantung Sabtu lalu.

Allahyarham dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi, mengalahkan calon MCA yang juga penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng dan Nordin Osman dari PAS.

SPR akan bermesyuarat pada 1 Oktober ini berhubung kekosongan itu.

MCA dijangka turut mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) berhubung kekosongan kerusi itu, minggu depan.

Media sebelum ini melaporkan akar umbi MCA mahu parti itu meletakkan calon bertanding, walaupun UMNO didakwa mula melobi untuk mendapatkan kembali kerusi itu daripada parti berkenaan.

Berita Harian X