Khamis, 26 September 2019 | 12:07pm
TIMBALAN Pengarah Institut Penyelidikan dan Strategi (IPS) PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. - Foto Rosela Ismail

MCA perlu lihat untung rugi politik pembangkang - Mohd Khairuddin

KUALA LUMPUR: PAS mahu MCA memberi laluan kepada calon Melayu sama ada daripada parti itu atau UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, berikutan ia adalah kerusi majoriti Melayu.

Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan dan Strategi (IPS) PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata selaku parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA perlu mengetepikan sentimen atau sejarah kerusi tradisi, sebaliknya mengutamakan kepentingan politik pembangkang.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu turut berpendapat dalam keadaan politik hari ini, amat sesuai untuk MCA menilai dari sudut strategi kemenangan bagi memperkukuh kekuatan pembangkang.

Beliau berkata, jika calon Melayu memberi keuntungan kepada pembangkang, parti pimpinan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong itu wajar memberi laluan kepada strategi berkenaan.

“Ini bukan masa untuk hanya melihat sentimen atau sejarah parti mana yang bertanding. Perlu dilihat untung rugi politik pembangkang,” katanya kepada BH.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu memberi jaminan PAS akan bersetuju dengan mana-mana calon yang dipersetujui bersama UMNO.

“Sekiranya MCA adalah parti yang dipersetujui untuk bertanding, maka PAS akan menyokong kerana itu hak BN,” katanya.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, Sabtu lalu.

Allahyarham memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Dr Md Farid memperoleh 21,255 undi, menewaskan penyandang daripada BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng yang mendapat 20,731 undi, dan calon PAS, Nordin Othman yang meraih 2,962 undi.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai secara tradisi menyaksikan pertembungan MCA dan DAP, namun DAP menyerahkannya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada PRU-14 yang menyaksikan Dr Md Farid bertanding buat kali pertama dan memenangi kerusi itu.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 53,528 pengundi dengan pecahan kaum 56.80 peratus (Melayu), 41.64 peratus (Cina), 1.01 peratus (India) dan lain-lain kaum 0.55 peratus.

PRK Parlimen Tanjung Piai yang juga PRK kesembilan selepas PRU-14, bakal menjadi medan ujian pertama bagi kerjasama UMNO-PAS selepas memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu.

Berita Harian X