Khamis, 26 September 2019 | 3:35pm
AHLI Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid. NSTP/Mikail Ong

Zuraida, pemimpin tidak hadir mesyuarat dirujuk ke Lembaga Disiplin

KUALA LUMPUR: Aduan rasmi terhadap Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan beberapa pemimpin lain kerana melanggar peraturan parti dikemukakan ke Lembaga Disiplin parti itu, Selasa lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata aduan itu dihantar kepada Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Ahmad Kasim menerusi e-mel dan pos.

Beliau berkata, aduan itu antara lain menggesa satu tindakan disiplin diambil terhadap beberapa pemimpin yang sengaja tidak menghadiri mesyuarat MPP dan Biro Politik tanpa alasan munasabah.

Katanya, beliau mengemukakan aduan selepas mengambil kira pandangan Ahmad bahawa lebih baik aduan rasmi dilakukan bagi membolehkan tindakan diambil walaupun Perlembagaan PKR, menyatakan siasatan boleh dimulakan tanpa aduan.

“Tindakan disiplin perlu diambil terhadap mereka termasuk nama besar dalam parti atas kebiadapan tidak hadir mesyuarat mengikut peruntukan dalam Perlembagaan PKR.

“Saya tidak boleh mendedahkan nama pemimpin berkenaan, ini adalah rahsia parti, nanti saya pula yang berdepan tindakan tatatertib.

“Saya harap dengan aduan rasmi itu, Lembaga Disiplin boleh memulakan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ahmad ketika dihubungi berkata, beliau belum melihat kandungan aduan berkenaan.

“Saya di luar negara, tak tengok lagi,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya sedia menyiasat kegagalan beberapa pemimpin parti itu menghadiri mesyuarat termasuk Biro Politik dan MPP tanpa mengemukakan alasan munasabah.

Beliau dilaporkan berkata, adalah lebih baik aduan rasmi dilakukan bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan walaupun Fasal 41.3 Perlembagaan PKR menyatakan Lembaga Disiplin boleh memulakan siasatan terhadap salah laku disiplin mana-mana anggota parti tanpa perlu aduan dari mana-mana pihak.

Berita Harian X