Khamis, 26 September 2019 | 4:46pm
Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar diminta luang masa bertemu MPP

KUALA LUMPUR: ‘Sengketa dalaman’ yang wujud di dalam PKR membabitkan beberapa pemimpin kanan parti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu diselesaikan jika Presiden parti sedia bertemu dengan semua Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Ahli MPP PKR, Zakaria Abdul Hamid, berkata pertemuan itu perlu diadakan segera untuk merungkai kekusutan hubungan yang wujud dalam kalangan pemimpin kanan parti ketika ini bagi mengelak salah faham ahli dan rakyat terhadap barisan kepemimpinan PKR.

Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Bera merayu Anwar supaya dapat meluangkan masa untuk bertemu dengan semua Ahli MPP bagi ‘menjernihkan’ hubungan sesama pemimpin supaya tidak menimbulkan sangkaan wujud perpecahan yang serius dalam parti berkenaan.

“Sesuai dengan moto ‘Keadilan Untuk Semua’ yang dijunjung PKR, saya dengan rendah hati memohon agar Datuk Seri Presiden dapat meluangkan sedikit masa bertemu dengan semua MPP yang dipilih anggota parti dalam pemilihan parti yang lalu.

“Pertemuan yang dimaksudkan ini penting bagi menjernihkan beberapa isu berbangkit termasuk yang menjadi salah faham sehingga bermain di bibir rakyat seolah-olah wujud perpecahan serius dalam parti.

“Saya mohon (Anwar) lunakkanlah hati dan luangkanlah sedikit waktu untuk semua kekeruhan ini dijernihkan supaya kita dapat bersama bergerak sederap dan bersuara senada, terutama menjelang kongres nasional yang akan berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pertelagahan kepemimpinan tertinggi PKR, khususnya di antara Anwar serta kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut disertai Zuraida Kamaruddin ketika ini dilihat semakin memuncak seolah-olah tiada penghujungnya.

Beberapa penganalisis berpendapat sudah tiba masa kepemimpinan PKR melihat keperluan melantik orang tengah bagi mencari jalan penyelesaian, sekali gus menghentikan perpecahan dalaman parti itu.

Beberapa Ahli MPP yang pro Anwar mendesak pemimpin yang ‘tidak sebulu’ dengan pucuk pimpinan terutama pemimpin kanan yang tidak menghadiri mesyuarat penting parti sejak selepas memenangi jawatan tinggi, perlu dirujuk kepada Lembaga Disiplin.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata kewujudan pasukan atau kem yang berbeza dalam parti adalah satu fenomena yang sihat, namun yang penting ahli serta pemimpin dalam PKR perlu terus setia kepada perjuangan parti.

Bagaimanapun, Selasa lalu, Zuraida dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti selepas dilaporkan tidak pernah menghadiri mesyuarat tertinggi parti selepas Kongres Nasional PKR, November tahun lalu.

Selain Zuraida, Mohamed Azmin adalah antara pemimpin tertinggi PKR yang dilaporkan tidak pernah menghadiri mesyuarat parti selepas memenangi jawatan Timbalan Presiden.

Zakaria berkata, pertemuan di antara Presiden dan Ahli MPP amat penting kerana ia penting dengan corak kepemimpinan yang sedia bersemuka, mendengar dan berinteraksi terutama dalam suasana peralihan kuasa yang semakin hampir.

Berita Harian X