Jumaat, 27 September 2019 | 3:11pm
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) menerima borang keahlian menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Abdul Rahman Kongkawang ketika sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu. NSTP/Malai Rosmah Tuah.
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan) menerima borang keahlian menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Abdul Rahman Kongkawang ketika sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu. NSTP/Malai Rosmah Tuah.

ADUN Labuk masuk WARISAN

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Abdul Rahman Kongkawang, hari ini mengumumkan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga Ketua PBS Bahagian Labuk itu menyerahkan borang menyertai WARISAN kepada Ketua Menteri yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini.

Beliau yang berada dalam PBS hampir 30 tahun, adalah pemimpin kedua daripada parti itu menyertai WARISAN selepas ADUN Tandek, Datuk Anita Baranting, pada 6 Mac lalu.

Mohd Shafie berkata, WARISAN mengalu-alukan penyertaan Abdul Rahman yang menyertai parti itu dan kepemimpinan kerajaan hari ini, tanpa syarat.

Beliau berkata, WARISAN menerima dengan hati terbuka keputusan Abdul Rahman bersama lapan lagi pemimpin PBS dan UMNO di kawasan Labuk serta Beluran, untuk menyertai perjuangan WARISAN.

“Mereka sepakat untuk keluar PBS dan UMNO untuk menyertai WARISAN, kita alu-alukan kerana saya tahu beliau (Abdul Rahman) ada keupayaan untuk membangunkan Labuk, sekaligus kawasan itu dapat diberi keutamaan dengan kehadiran beliau.

“Saya yakin beliau sudah berfikir panjang dan ini juga membantu kita untuk membangunkan rakyat dan semua kawasan di Sabah,” katanya sambil menambah semua kawasan termasuk yang diwakili pembangkang tidak diketepikan kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, ciri kepimpinan yang ada pada Abdul Rahman selain dilihat berpengalaman dan diterima rakyat, antara faktor beliau diterima masuk dalam WARISAN.

“Sebenarnya kita menapis dengan teliti (permohonan masuk parti), bukan main ambil-ambil atau terima saja tapi rujuk kepada pucuk kepemimpinan parti terlebih dahulu,” katanya sambil merakamkan terima kasih kepada Abdul Rahman kerana memilih untuk menyertai WARISAN.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata penyertaannya dalam WARISAN tanpa syarat, sebaliknya ikhlas untuk memastikan kawasan DUN Labuk yang mempunyai dua daerah iaitu Telupid dan Beluran, terus dapat dibangunkan.

“Kemasukan dalam WARISAN ini akan dapat memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat dan kawasan kami, sekali gus mengurangkan isu politik saja.

“Pembangunan dan kesejahteraan rakyat tidak dapat kita lakukan jika tidak bersama kerajaan,” katanya sambil merakamkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan parti kerajaan kerana menerima kemasukannya dalam WARISAN.

Abdul Rahman berkata, sebelum ini beliau memang sudah ada hasrat untuk menyertai WARISAN dan hanya menunggu untuk diterima.

“Saya sudah membuat makluman kepada parti untuk peletakan jawatan secara rasmi, baru-baru ini, dan ia sudah diterima. Mengenai reaksi pucuk pimpinan, saya percaya mereka menerimanya (peletakan jawatan),” katanya sambil menambah hasratnya adalah untuk membawa pembangunan di DUN Labuk dan bukan sebab peribadi.

Setakat ini WARISAN sudah mempunyai 32 ADUN.

Sementara itu, PBS kini hanya mempunyai empat ADUN iaitu Datuk Joniston Bangkuai bagi DUN Kiulu; Datuk Jahid Jahim (DUN Tamparuli); Datuk Dr Joachim Gunsalam (DUN Kundasang) dan Julita Majungki (DUN Matunggong) serta seorang Ahli Parlimen iaitu Datuk Dr Maximus Ongkili (Kota Marudu).

Berita Harian X