Ahad, 29 September 2019 | 7:15pm
Ahli MPP PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid. - NSTP/Hafiz Sohaimi

MPP PKR serah kepada Lembaga Disiplin

PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menyerahkan sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin parti untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan beberapa pemimpin lain kerana melanggar peraturan parti.

Ahli MPP PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan perkara itu perlu diserahkan kepada Lembaga Disiplin dan parti menunggu apa saja keputusan yang dibuat.

Katanya, pada mesyuarat itu secara rasmi beliau memaklumkan mengenai aduan salah laku Zuraida dan beberapa pemimpin lain.

“Sekarang ini, kita menunggu hasil siasatan Lembaga Disiplin dan saya hendak tengok apakah catatan (keputusan) berhubung perkara ini,” katanya ditemui selepas mesyuarat MPP di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Khamis lalu, Abdullah Sani berkata aduan rasmi terhadap Zuraida dan beberapa pemimpin lain kerana melanggar peraturan parti dikemukakan kepada Lembaga Disiplin parti itu, Selasa lalu.

Aduan itu dihantar kepada Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Ahmad Kasim menerusi e-mel dan pos.

Kandungan aduan antara lain menggesa satu tindakan disiplin diambil terhadap beberapa pemimpin yang sengaja tidak menghadiri mesyuarat MPP dan Biro Politik tanpa alasan munasabah.

Sementara itu, ditanya sama ada kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sesi dialog Majlis Hubungan Luar di New York mengenai tempoh perkhidmatan sehingga pilihan raya akan datang, Abdullah Sani berkata perkara itu tidak dibincangkan kerana hal berkenaan di bawah bidang kuasa Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Katanya, MPP menganggap kenyataan itu bukan satu isu yang perlu dibincangkan parti itu.

“Secara peribadi, pada saya kenyataan itu adalah pendapat peribadi Perdana Menteri. Dr Mahathir boleh teruskan jika beliau hendak tunggu sampai 2030 tetapi kena bincang dengan Majlis Presiden PH.

Beliau berkata mesyuarat itu membincangkan mengenai usaha memperkasakan parti secara panjang lebar dengan adanya sambutan luar biasa orang yang berminat menjadi ahli parti.

“Sekarang ini, kita terima berbelas ribu permohonan menjadi ahli dalam sebulan. Ini gelombang yang baik dan positif untuk parti,” katanya.

Berita Harian X