Ahad, 29 September 2019 | 7:55pm
Veteran PAS yang juga bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Tanjung Piai: MCA patut bertanding

KUALA TERENGGANU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai akan menjadi ukuran kekuatan kepada kerjasama yang dijalinkan antara PAS dan UMNO melalui Muafakat Nasional.

Namun, Veteran PAS yang juga bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata seeloknya kerusi Parlimen Tanjung Piai dikekalkan kepada calon MCA untuk membuktikan kerjasama menerusi Muafakat Nasional tidak terbatas kepada Melayu sahaja, tetapi juga kepada kaum lain.

“PRK Parlimen Tanjung Piai akan menjadi ukuran kekuatan kepada MCA sekiranya ditakdirkan menang dalam PRK terbabit.

“Ia juga akan meningkatkan moral MCA dan seterusnya boleh memberi ancaman kepada DAP,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kesediaan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) untuk meletakkan calon dalam PRK Parlimen Tanjung Piai, beliau berkata, ia adalah kebebasan serta hak masing-masing dalam sistem demokrasi dan tidak boleh disekat.

Katanya, kehadiran PUTRA di Tanjung Piai tidak boleh mengatasi calon daripada PH dan juga BN, namun tidak dinafikan boleh menjejaskan undian dan kedudukan kedua-dua gabungan parti besar itu.

“Sokongan kepada PUTRA tentu sekali lebih daripada kalangan Melayu, seterusnya akan menjejaskan undi Melayu kepada kedua-dua parti,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 43 yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor, kira-kira jam 6 pagi 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan 53,528 pengundi berdaftar pada PRU-14, memiliki komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan PRK Tanjung Piai, Selasa ini.

Berita Harian X