Selasa, 1 Oktober 2019 | 3:01pm
PENGERUSI DAP Perak, Nga Kor Ming. - Foto Muhaizan Yahya

Kor Ming digesa buat laporan polis, SKMM

IPOH: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming perlu membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi mendedahkan siapa sebenarnya pemilik akaun Facebook yang selalu membuat kenyataan kontroversi dan menimbulkan elemen kebencian menggunakan namanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata langkah itu perlu kerana laman Facebook berkenaan selalu mengeluarkan kenyataan sensitif yang sering mengaitkan Kor Ming.

“Kor Ming yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat tidak perlu melatah mengenai isu penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, membabitkan tanda jalan yang dikongsi oleh laman Facebook yang dikatakan mempunyai kaitan dengan beliau.

“Kami menasihati Timbalan Speaker itu untuk segera membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.

“Beliau juga seharusnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendedahkan siapakah pemilik akaun Facebook berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kor Ming dalam kenyataan media semalam dipetik mendakwa hantaran dalam laman Facebook yang menggunakan nama ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ bukanlah dari beliau mahupun DAP.

Beliau dipetik sebagai berkata, hantaran dalam laman Facebook berkenaan yang kemudian dipetik oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebenarnya adalah daripada satu laman yang bernama ‘Ju Xi Wan Yak’ dan ia langsung tiada apa-apa kaitan dengan beliau mahupun DAP.

Saarani berkata, ini bukanlah kali pertama laman Facebook berkenaan membuat kenyataan kontroversi dan menimbulkan elemen kebencian dan bukan juga kali pertama laman berkenaan mengaitkan Kor Ming dalam hantaran yang dibuat, justeru satu tindakan tegas hendaklah diambil.

Beliau berkata, Kor Ming sering menampakkan dirinya sebagai mangsa fitnah dan tipu daya, oleh itu beliau mesti membuktikan perkara itu dengan membuat laporan polis dan SKMM.

Berita Harian X