Rabu, 2 Oktober 2019 | 8:22pm
NAIB Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohamad Shatar Sabran.

Bukan kuda tunggangan parti politik

KUALA LUMPUR: Empat universiti awam (UA) yang membentuk gabungan dalam menganjurkan Kongres Maruah Melayu, Ahad ini bukan kuda tunggangan atau batu loncatan mana-mana parti politik untuk meraih sokongan Melayu.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohamad Shatar Sabran, berkata tidak timbul universiti berkenaan dimanipulasi parti politik dalam membincangkan agenda pengukuhan Melayu.

Katanya, pembabitan empat universiti termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam kongres itu bukan berteraskan agenda politik mana-mana pihak.

Sebaliknya, beliau berkata, kongres itu bertujuan memberi peringatan dan kesedaran mengenai pentingnya penyatuan Melayu dalam mengembalikan kegemilangan menerusi lima platform iaitu agama, budaya, politik, ekonomi dan pendidikan.

“Ini bukan isu dimanipulasi atau kami menjadi kuda tunggangan dan batu loncatan kerana peranan institusi pendidikan adalah untuk memberi peringatan dan UPSI sebagai universiti pendidikan bertanggungjawab mengingatkan orang Melayu untuk bersatu di bawah platform pendidikan.

“Kongres ini asasnya bermatlamat memberi peringatan dan menyatu padukan masyarakat Melayu, Islam.

“Sejarah membuktikan antara formula kegemilangan Kesultanan Melaka adalah kerana penyatuan kukuh antara pemimpin dan masyarakat Melayu.

“Selepas 60 tahun negara merdeka, keutuhan perpaduan dalam kalangan Melayu semakin layu. Maka menerusi penganjuran kongres ini, kita ingin mengembalikan kegemilangan bangsa Melayu,” katanya kepada BH, hari ini.

Mohamad Shatar turut menegaskan Kongres Maruah Melayu bukan program bersifat perkauman, sebaliknya sekadar hak orang Melayu yang menyedari mereka semakin lemah akibat perpecahan.

Beliau berkata, kongres itu dianjurkan atas semangat ingin masyarakat Melayu kembali bersatu demi mengembalikan kegemilangan yang semakin pudar, bukan platform untuk menganiaya atau menidakkan hak bangsa lain.

Katanya, setiap universiti dipertanggungjawabkan untuk mengemukakan resolusi hasil perbincangan lima platform berkenaan.

Semalam, nada sama turut disuarakan Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris yang menolak dakwaan mereka dijadikan alat politik pihak tertentu.

UM akan mengendalikan isu berkaitan persoalan politik, UiTM (isu ekonomi), UPSI (isu berkait pendidikan) dan UPM pula akan memfokuskan isu kebudayaan dan agama.

Sebelum ini, UMNO mendakwa empat universiti diperalatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi menganjurkan Kongres Maruah Melayu.

Bagaimanapun, PAS semalam membuat ketetapan bahawa Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir pada kongres itu sebagai tanda jiwa besar parti bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan nasional dalam negara ini

Berita Harian X