Rabu, 2 Oktober 2019 | 9:07pm
BEKAS Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Reaksi berbeza calon pilihan raya usia 18 tahun

KUALA LUMPUR: Keputusan membenarkan individu berusia 18 tahun bertanding pilihan raya bermula dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor pada bulan depan, mendapat reaksi yang berbeza.

Yang menentang berpendapat ia tidak sesuai kerana individu pada usia berkenaan masih belum matang, manakala yang menyokong melihatnya sebagai positif dalam proses demokrasi negara serta dapat menguji kemampuan generasi muda dalam arena politik tanah air.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berpendapat calon berusia 18 tahun tidak sesuai bertanding pilihan raya kerana belum cukup matang untuk menjadi wakil rakyat.

“Pendapat peribadi saya, kalau letak calon 18 tahun dan rakyat pula pilih, saya rasa ada yang tidak kena. Saya pernah uruskan pilihan raya umum (PRU) banyak kali, saya tengok bagaimana calon bawa diri.

“Bagi saya, kalau tanya umur patut jadi calon, sekurang-kurangnya 35 tahun ke atas. Kalau usia sebegitu, saya rasa boleh jadi wakil rakyat. Kalau kurang daripada itu, saya rasa kurang sesuai," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dilaporkan berkata, parti politik boleh meletakkan calon berusia 18 tahun bermula PRK Tanjung Piai berikutan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang sudah diwartakan.

Pada 4 September lalu, pindaan Perkara 47 (calon usia 18) dan Perkara 119 (had usia mengundi) Perlembagaan Persekutuan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan pada 10 September.

Di Kuala Terengganu, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meminta SPR meneliti semula pindaan perlembagaan membabitkan kebenaran umur 18 tahun menjadi calon supaya tidak timbul masalah sekiranya calon itu menang pilihan raya.

Katanya, pilihan raya bukan tempat untuk mencari pengerusi kelab atau wakil persatuan, tetapi bagi memilih wakil rakyat yang dapat memberi perkhidmatan dan berkomunikasi dengan baik dengan masyarakat.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, ketika dihubungi BH, berkata jika SPR membenarkan individu berumur 18 tahun bertanding PRK Tanjung Piai, mengapa pula mereka pada usia sama tidak dibenarkan untuk mengundi.

“Ia kenyataan yang mengelirukan, satu dasar yang bercanggah. Kalau mahu laksanakan pengubahan had umur pada PRK kali ini, biarlah laksanakan secara menyeluruh dan turut benarkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi," katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata keputusan itu dapat menguji kemampuan generasi muda untuk terbabit secara langsung dalam arena politik tanah air.

“Ia juga bagi menilai kematangan, kebolehan dan kewibaan generasi muda untuk menjadi pemimpin serta menjadi ‘wake up call’ untuk menilai tahap anak muda serta sistem pendidikan negara ini.

“Persepsi bahawa kematangan remaja pada masa ini belum layak untuk jadi wakil rakyat adalah cabaran buat generasi muda, juga cabaran untuk kita bagi menilai sistem pendidikan kita. Namun, penilaian utama berasaskan kelayakan dan kewibawaan memimpin rakyat,” katanya.

Pengurus Kanan Penyelidikan, Institut Darul Ehsan(IDE), Khairul Ariffin Mohd Munir pula berkata, pada dasarnya pembabitan mereka berumur 18 tahun dalam pilihan raya adalah positif dalam proses demokrasi negara.

“Namun, proses persediaan bagi umur 18 tahun menjadi calon dan pemilih perlu dipertimbangkan semua pihak. Persediaan dan kematangan mereka dalam proses demokrasi harus digilap sebelum mereka diberi peluang dan ruang menjadi wakil rakyat.

“Menjadi wakil rakyat bukan pentas ‘glamour’ tapi ia adalah soal amanah dan tanggungjawab. IDE melihat pengundi muda bawah 25 tahun pada kebiasaannya mempunyai pandangan dan pegangan politik yang pelbagai dan boleh berubah- ubah,” katanya.

Berita Harian X