Khamis, 3 Oktober 2019 | 7:55am
Tanjung Piai. - Foto blog Florian

Tanjung Piai: Peluang calon 18 tahun catat sejarah

KUALA LUMPUR: Keputusan membolehkan individu berusia 18 tahun bertanding dalam pilihan raya, bermula dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor, pada November ini, dilihat sebagai titik perubahan penting sistem demokrasi dan landskap politik negara.

Rata-rata berpendapat PRK itu, yang membenarkan calon berusia 18 tahun bertanding, menjadi permulaan yang membawa nafas baharu kepada perwakilan golongan muda.

Ini bukan sahaja mencatat sejarah pilihan raya negara jika ada calon berusia 18 tahun bertanding pada PRK Tanjung Piai, pencalonan orang muda ini satu peluang memperkasa dan membawa suara orang muda.

Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Mohd Nizam Mat Daud, berkata keputusan itu membolehkan belia yang bercita-cita menjadi wakil rakyat, dapat menonjolkan potensi kepemimpinan mereka.

“Masih awal untuk melihat sejauh mana kesan penurunan umur untuk menjadi calon dalam pilihan raya, tapi PRK Tanjung Piai ini boleh menjadi pengukurnya,” katanya.

Perkara sama turut disuarakan Presiden, Pertubuhan Suara Kelantan Darul Naim (Suara Kelantan), Isham Sharuddin yang berpandangan senario itu amat menarik untuk kerana PRK itu bakal menyaksikan calon berusia 18 tahun boleh bertanding buat julung kalinya.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan sistem demokrasi di negara ini semakin sihat apabila golongan muda diberi ruang untuk bersama-sama menyuarakan suara serta hak mereka.

Katanya, pandangan mereka pastinya berbeza dengan golongan yang lebih dewasa, malah lebih dekat dengan anak muda.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini berkata, parti politik yang bertanding dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November ini, boleh meletakkan calon berusia 18 tahun.

Keputusan itu sejajar dengan dengan pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan, yang diwartakan pada 10 September lalu.

Bagaimanapun, keputusan itu turut mendapat reaksi berbeza daripada sesetengah pihak yang berpendapat ia sebagai tindakan yang terburu-buru kerana kelayakan mengundi pada umur 18 tahun masih belum diwartakan.

Pemangku Presiden Majlis Belia Selangor (MBS), Mohamad Syafiq Ridzwan, berkata SPR seharusnya menguatkuasakan had kelayakan menjadi calon dan pengundi pada umur 18 secara serentak dan bukan secara berasingan.

“MBS berpendapat, kebenaran untuk calon berusia 18 tahun bertanding perlu dibuat serentak dengan kebenaran pengundi berusia 18 tahun mengundi,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan Koordinator Dewan Muda Johor (DMJ), Ahmad Solehin Abd Ghani yang berpendapat janggal, apabila pengundi berumur 18 tahun masih tidak boleh mengundi walaupun boleh menjadi calon.

“DMJ dimaklumkan bahawa sistem pendaftaran automatik untuk umur 18 tahun sebagai pengundi hanya akan bermula pada pertengahan 2021. DMJ berpendapat tempoh itu terlalu lama.

“Bayangkan jika ada calon berusia 18 tahun bertanding di PRK Tanjung Piai, tetapi beliau tidak boleh mengundi. Amat janggal perkara itu dan bertentangan dengan amalan biasa,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook DMJ.

Sementara itu di Terengganu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata SPR perlu memastikan keputusan itu tidak memberi kesan perundangan, terutama jika calon muda berkenaan menang dalam PRK.

“SPR kena tengok dari aspek undang-undang. Kita tak naklah juga esok (suatu hari) apabila calon tu menang, tiba-tiba dicabar mana-mana pihak. Masih perlu lihat secara mendalam dan tiada masalah undang-undang,” katanya.

Ahmad Samsui berkata, pemilihan calon PRK amat berbeza meskipun membuka peluang kepada golongan muda dan ia tidaklah seperti melantik pengerusi kelab atau wakil persatuan.

Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia Negeri Sembilan, Fakruradzi Abdullah, berkata langkah itu seharusnya tidak dibuat secara mengejut, sebaliknya beri pendedahan awal kepada remaja terlebih dahulu.

“Saya akui kita ada usaha untuk mendedahkan anak-anak muda sejak di bangku sekolah berhubung kesedaran mengundi dan sebagainya, termasuk mewujudkan Parlimen Belia Malaysia untuk dedahkan anak muda tentang bagaimana untuk mentadbir, berbahas dan fikir hal masyarakat, termasuk sistem pentadbir negara.

“Bagaimanapun pada saya, calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya, perlu ada pengalaman dalam politik dan bukan sekadar pengetahuan semata-mata, kerana dalam dunia politik ada banyak ‘sepak terajang’nya,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas, berikutan komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Md Farid, seorang pakar bius, daripada Pakatan Harapan memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai memperolehi 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS). Wee memperolehi 20,731 undi, manakala Nordin, 2,962 undi.

PRK Tanjung Piai ialah PRK yang kesembilan, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.

PRK sebelum ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia, Semenyih dan Rantau, manakala PRK bagi kawasan parlimen pula ialah Cameron Highlands, Port Dickson dan Sandakan. – BERNAMA

Berita Harian X