Khamis, 3 Oktober 2019 | 8:45am
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam. - Foto Aziah Azmee

Kekalkan status quo MCA di Tanjung Piai

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu mengekalkan status quo kerusi Tanjung Piai dengan mempertaruhkan calon MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu pada 16 November ini.

Kerusi itu dikatakan mampu menjadi kayu pengukur sejauh mana pengundi bersedia mengundi calon bukan Melayu daripada pembangkang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, berkata dengan komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, PRK kesembilan ini menawarkan peluang terbaik untuk menguji tahap sokongan bukan Melayu kepada pembangkang.

Beliau berkata, inilah masa terbaik untuk menilai sejauh mana calon bukan Melayu BN boleh mendapat tempat di hati rakyat.

Katanya, ada pandangan yang mengatakan bahawa jika mahu menang di kerusi yang memiliki komposisi lebih 50 peratus Melayu, calon perlulah dipilih daripada UMNO atau PAS.

“Namun, tiada fakta yang menyokong kenyataan itu. Maka, antara cara untuk memastikan ia betul atau sebaliknya ialah dengan memastikan calon MCA bertanding di kawasan berkenaan.

“Ada orang cakap, orang Melayu takkan undi calon Cina. Jika ini berlaku sudah pasti Datuk Seri Wee Jeck Seng kalah teruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Dalam tsunami politik yang dahsyat pada PRU-14, Jeck Seng hanya kalah dengan majoriti 524 undi. Saya yakin majoriti undi daripada pengundi Melayu yang tidak rasis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai cakap-cakap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai calon kerusi berkenaan, Lokman berkata, siapa juga calon diketengahkan parti, ahli dan penyokong perlu sokong.

“Sama ada suka atau tidak, perlu dipastikan calon itu menang kerana dia bertanding atas tiket parti. Jatuh bangun calon berkait rapat dengan maruah parti. Siapa juga jadi calon, saya sokong dan akan pastikan kemenangan,” katanya.

Sebelum ini, MCA Tanjung Piai dilaporkan akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan BN dalam aspek pemilihan calon pada PRK berkenaan.

Laporan turut menyebut, Jeck Seng selaku Ketua MCA bahagian itu, yang juga bekas Ahli Parlimen kawasan berkenaan, menyedari wujud desakan beberapa pihak supaya kerusi itu diserahkan kepada UMNO tetapi menganggapnya sebagai kebebasan bersuara.

Selain desakan daripada UMNO Tanjung Piai yang menuntut kerusi berkenaan, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan dan Strategi (IPS) PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali turut menyarankan MCA memberi laluan kepada calon Melayu sama ada daripada PAS atau UMNO berikutan ia kerusi majoriti Melayu.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, berkata selaku parti komponen BN, MCA perlu mengetepikan sentimen atau sejarah kerusi tradisi, sebaliknya mengutamakan kepentingan politik pembangkang.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 43, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

Berita Harian X