Jumaat, 4 Oktober 2019 | 11:38am
Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

PAS tegas sokong Dr Mahathir kekal PM hingga habis penggal

KUALA LUMPUR: PAS mengulangi pendirian menyokong kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri untuk kekal menerajui negara sehingga Parlimen dibubarkan.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad, berkata parti itu menganggap isu peralihan jawatan Perdana Menteri selesai dengan penjelasan terkini Dr Mahathir.

Beliau berkata, PAS ingin menegaskan sekarang adalah masa untuk menumpukan kepada agenda pembangunan negara dengan menghentikan sebarang spekulasi yang boleh meresahkan rakyat serta menggugat kestabilan negara.

“Perbuatan sesetengah pemimpin parti komponen parti pemerintah bercakaran di media sosial amatlah tidak matang. Ia menimbulkan persepsi tidak sihat dalam kalangan rakyat yang sudah muak dengan aksi pemimpin yang lebih suka berpolitik.

“Ia turut menimbulkan keraguan terhadap kestabilan politik dan ekonomi oleh pelabur dan pemodal luar negara, sekali gus membantutkan agenda pemulihan ekonomi negara.

“Hentikan dan ketepikan dengan serta merta agenda peribadi kerana ia tidak mendatangkan faedah kepada negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Semalam, Dr Mahathir menegaskan sukar untuk menetapkan tarikh tetap bagi menentukan peralihan kuasa Perdana Menteri.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, susah sekiranya tugas dan tanggungjawab dilaksanakan itu tidak selesai sepenuhnya.

“Kita harus mengkaji situasi. Jika tugas tidak dilaksanakan sepenuhnya atau tidak selesai, susahlah,” katanya.

Berita Harian X