Rabu, 16 Oktober 2019 | 2:55pm
PERTEMUAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di ‘lounge’ Parlimen, semalam. - Foto Syarafiq Abd Samad

'Kalau Azmin boleh jumpa Anwar, hadirlah mesyuarat parti' - Abdullah Sani

KUALA LUMPUR: Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di ‘lounge’ Parlimen semalam tidak boleh dijadikan pengukur yang ‘perang dingin’ di antara mereka sudah berakhir.

Sebaliknya, adegan Presiden PKR dan Timbalannya itu untuk ‘ngopi’ bersama Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mungkin dianggap ‘wayang’ kerana Mohamed Azmin masih gagal menghadiri mesyuarat parti terutama Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Kegagalan Mohamed Azmin hadir mesyuarat parti menguatkan lagi dakwaan sebelum ini yang hubungannya dengan Anwar bermasalah sehingga mewujudkan puak di dalam PKR.

Mengulas pertemuan itu, Ahli MPP PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menegaskan ia tetap tidak boleh dijadikan alasan kepada Timbalan Presiden PKR itu untuk tidak menghadiri mesyuarat parti.

Abdullah Sani konsisten dengan pendirian MPP lain yang Mohamed Azmin tetap tertakluk kepada peraturan dan perlembagaan parti terutama perlu menghadiri mesyuarat parti.

“Soal dia berjumpa dengan Anwar itu menunjukkan sikap profesional Anwar yang luar biasa. Beliau tidak pernah mengaitkan soal peribadi dan parti dalam kerajaan.

“Saya ada di dalam ‘lounge’ ketika mereka bertemu dan dengar mereka tidak bincang soal parti. Mereka bincang soal negara, dasar, ekonomi dan belanjawan.

“Soalnya, kalau dah boleh duduk bersama, sepatutnya tak ada masalah untuk hadir (mesyuarat parti). Kalau ada konflik, takkan nak duduk bersama (Anwar) dengan Saifuddin.

“Beliau (Mohamed Azmin) tetap kena hadir (mesyuarat parti). Kena ingat parti ada perlembagaan dan peraturan. Jika ada keperluan untuk parti bertindak, parti perlu bertindak,” katanya kepada BH, hari ini.

Menerusi catatan di Twitter semalam, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menjelaskan, beliau minum kopi bersama Mohamed Azmin dan Saifuddin di lounge Parlimen.

Mohamed Azmin turut ulang ciap catatan Anwar dan menjelaskan mereka membincangkan isu negara termasuk usaha menangani masalah kemiskinan dan menjayakan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama.

Anwar pula menafikan perjumpaan ringkas itu adalah mesyuarat rekonsiliasi, sebaliknya pertemuan itu perjumpaan biasa dan lebih kepada membincangkan hal ehwal ekonomi negara.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Dr P Sivamurugan menjelaskan, kedua-dua pemimpin perlu berjiwa besar untuk berbincang mengenai soal politik dan parti supaya tidak mengeruhkan perpaduan dalam parti.

“Seharusnya pertemuan itu bukan sekadar lakonan, kerana selama ini tafsiran yang wujud seolah-olah mereka tidak boleh bertentang mata.

“Pertemuan itu sepatutnya menjadi satu tanda positif ke arah perbincangan lebih besar berkaitan politik. Ia harus dibawa dalam pertemuan parti sebagai medan yang jauh lebih besar berbanding di Parlimen.


AHLI MPP PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid. - Foto Syarafiq Abd Samad

Berita Harian X