Sabtu, 19 Oktober 2019 | 3:29pm
PENGERUSI PH Johor merangkap Pengarah Pilihan Raya PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri program Ramah Mesra bersama Warga Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Jubli Intan, Pontian, hari ini. - Foto Zain Ahmed

Tanjung Piai: PH turunkan calon berpengalaman, ada ketokohan

PONTIAN: Pakatan Harapan (PH) membayangkan akan meletak calon berpengalaman dengan latar belakang baik dan ada ketokohan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, bulan depan.

Pengerusi PH Johor merangkap Pengarah Pilihan Raya PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata calon PH untuk PRK Parlimen Tanjung Piai itu sudah hampir dimuktamadkan.

“Setakat ini, tiada pihak yang menawar diri (untuk menjadi calon), namun kita sedang meneliti calon yang berpengalaman, mempunyai latar belakang yang baik, ada ketokohan dan ada pengetahuan untuk diturunkan sebagai calon PH pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

“Kita juga ambil kira calon yang boleh jalankan tugas serta tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan berkesan, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Ramah Mesra bersama Warga Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Jubli Intan di sini, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin.

Terdahulu, Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengadakan tinjauan ramah mesra di Pasar Awam Pekan Nenas sebelum bersarapan bersama masyarakat Pekan Nenas di Jalan Sawah, dalam lawatan kerja dua harinya ke Pontian.

Rabu lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata PH akan memperkenalkan calon bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, dalam tempoh seminggu lagi dalam majlis pengenalan calon sebelum hari penamaan calon.

Beliau, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), menyuarakan rasa puas hati dengan gerak kerja jentera termasuk kajian sikap pengundi Tanjung Piai yang dilaksanakan baru-baru ini.

“Sikap pengundi di Johor berbeza dengan pengundi di kawasan lain dan nampaknya ia menunjukkan sentimen positif.

“Malah, kajian sikap dilaksanakan jentera di 16 peti daerah mengundi (PDM) yang PH tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu mendapati pengundi mula ada perubahan sikap untuk menyokong kerajaan.

“Walaupun ada sentimen rakyat di Tanjung Piai yang menyatakan keadaan ekonomi dan kos sara hidup menjejaskan kehidupan, mereka terbuka untuk kembali menyokong kerajaan.

“Faktor ini banyak disumbangkan gerak kerja dan kegigihan Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, yang rajin turun padang dan bertemu masyarakat tempatan.

“Beliau banyak membawa projek pembangunan dan mengatasi masalah penduduk, malah sikap peramah Allahyarham yang mudah mendampingi masyarakat sangat disenangi kawan mahupun lawan, ” katanya.

Berita Harian X