Jumaat, 25 Oktober 2019 | 3:59pm
GAMBAR fail, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto Hairul Anuar Rahim

6 MP UMNO sokong PM jangan bantu kempen di Tanjung Piai - Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR: Pergolakan dalaman dipercayai melanda UMNO susulan keputusan enam Ahli Parlimennya menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus menjadi Perdana Menteri sehingga berakhir penggal Parlimen ini.

Ia dapat dilihat menerusi reaksi ditunjukkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang menyokong kenyataan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetapi membidas enam Ahli Parlimen terbabit.

“Saya sokong kenyataan Presiden dan saya cadangkan enam orang ini (Ahli Parlimen) tak payah datang bantu calon BN (Barisan Nasional) di Tanjung Piai,” tulis Mohamed Khaled di dalam ruangan komen pada status Instagram beliau hari ini.

Mohamed Khaled turut menyindir tindakan enam Ahli Parlimen terbabit dengan menyoal; “Adakah dengan kenyataan ini akan bertambah undi BN di Tanjung Piai?”

Semalam, enam Ahli Parlimen UMNO memberi sokongan kepada Dr Mahathir untuk meneruskan mandat sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum seterusnya.

Mereka adalah Ahli Parlimen Paya Besar (Mohd Shahar Abdullah), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Enam Ahli Parlimen terbabit mempertahankan keputusan mereka kerana menganggap Dr Mahathir perlu terus menjadi Perdana Menteri bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid mendakwa pendirian enam Ahli Parlimen terbabit tidak mencerminkan pandangan rasmi BN dan UMNO.

Pemerhati politik menyifatkan sokongan enam Ahli Parlimen terbabit kepada Dr Mahathir adalah ‘isyarat halus’ mereka menolak kepemimpinan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO.

Pergolakan dalaman UMNO ini berlaku kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2 November ini.

Krisis yang berlaku dalam UMNO ini dilihat mampu memberi kelebihan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Turut menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri semalam ialah kesemua 16 Ahli Parlimen PAS.

Berita Harian X