Sabtu, 26 Oktober 2019 | 2:26pm
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. - NSTP/Aswadi Alias

Belum masa UMNO nyata sokongan terbuka - Annuar

KUALA TERENGGANU: UMNO melihat belum ada keperluan untuk parti itu menyatakan sokongan secara terbuka terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata, bagaimanapun parti sedia membincangkan mengenai perkara itu sekiranya keadaan memerlukan untuk UMNO menyatakan pendirian.

“Buat masa ini, tidak ada keperluan untuk UMNO nyatakan selama mana Dr Mahathir harus pegang jawatan Perdana Menteri.

“Tetapi kalau sampai satu ketika yang memerlukan UMNO untuk membuat pendirian dan sikap, kita akan adakah mesyuarat Majlis Tertinggi dan kita akan bincang.

“Kita boleh sokong, boleh tak sokong. Kita akan tengok pada masa itu nanti. Ketika ini situasi itu belum berbangkit,” katanya ketika ditemui selepas Himpunan Penyatuan Ummah Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri, malam tadi.

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Annuar berkata, UMNO menghormati pendirian PAS, yang juga rakan kerjasamanya dalam Muafakat Nasional yang sudah berkali-kali menyatakan pendirian dan sokongan supaya Dr Mahathir kekal berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal.

Beliau menjelaskan, situasi PAS berbeza dengan UMNO berikutan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berasal daripada UMNO.

“Kita menghormati pendirian PAS apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi berkali-kali menyebut secara terang menyokong kepimpinan Dr Mahathir kerana parti itu berbeza latar belakangnya.

“PAS tidak ada masalah sebagaimana UMNO ada masalah dengan BERSATU.

“UMNO dan BERSATU berasal daripada satu parti. Saya pun secara peribadi berpendapat Dr Mahathir perlu diberi peluang, bukan kerana sokong sesiapa, tetapi kerana kita tidak mahu politik yang terumbang ambing hingga menjejaskan rakyat, ekonomi tak dapat dipulihkan dan janji pada rakyat tak dapat ditunaikan,” katanya.

Mengulas mengenai sokongan terbuka beberapa pemimpin UMNO terhadap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal PRU-14 sebelum ini, beliau berkata, ia adalah pandangan peribadi dan tidak dianggap sebagai satu kesalahan dalam parti.

“Mereka berpendapat Dr Mahathir perlu diberi peluang untuk terus mentadbir sehingga akhir penggal. Sebagai Ahli Parlimen, ia tidak salah.

“Tetapi di peringkat parti, kita tidak membuat apa-apa keputusan berhubung

selama mana Dr Mahathir harus mentadbir,” katanya.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen UMNO memberi sokongan kepada Dr Mahathir untuk meneruskan mandat sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum seterusnya.

Mereka adalah Ahli Parlimen Paya Besar (Mohd Shahar Abdullah); Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Enam Ahli Parlimen terbabit mempertahankan keputusan mereka kerana menganggap Dr Mahathir perlu terus menjadi Perdana Menteri bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara.

Berita Harian X