Isnin, 28 Oktober 2019 | 6:33pm
Muhyiddin ketika memperkenalkan Karmaine untuk PRK Parlimen Tanjung Piai di Pontian, hari ini. - Foto BERNAMA
Muhyiddin ketika memperkenalkan Karmaine untuk PRK Parlimen Tanjung Piai di Pontian, hari ini. - Foto BERNAMA

Karmaine calon tepati kriteria, kemahuan pengundi - Muhyiddin

PONTIAN: Calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, dipilih berikutan beliau menepati semua kriteria ditetapkan parti iaitu keperibadian yang baik, berkelulusan dan anak tempatan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, berkata kriteria itu juga menepati kemahuan pengundi di Tanjung Piai yang mahukan wakil rakyat yang memahami isu serta masalah rakyat di akar umbi.

“Kepemimpinan tertinggi PH meneliti semua nama yang disenaraikan malah saya juga berjumpa Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad membawa senarai nama bagi diteliti dan mendapatkan pandangan beliau.

“Akhirnya, PH sebulat suara bersetuju untuk menurunkan Karmaine Sardini, anak kelahiran Peradin, Teluk Kerang sebagai calon kami.

“Karmaine bukan sahaja mempunyai keperibadian yang baik dan berkelulusan malah mempunyai hubungan yang baik di akar umbi dan memahami isu dan masalah penduduk Tanjung Piai kerana berasal dari sini,” katanya pada sidang media selepas pengumuman calon PH, di sini, hari ini.

Muhyiddin bersama Karmaine ketika mengumumkan calon Pakatan Harapan bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, di Pontian, hari ini. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Muhyiddin bersama Karmaine ketika mengumumkan calon Pakatan Harapan bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, di Pontian, hari ini. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Yang turut hadir, Pengarah Pilihanraya PRK Tanjung Piai, Datuk Dr Sahruddin Jamal, Pengerusi BERSATU Johor, Mazlan Bujang, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Hadir sama, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Harun dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, PH akan menumpukan terhadap lima fokus utama pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

“Pertamanya faktor ekonomi perut bagi membantu cari jalan kos sara hidup. Kita juga akan meningkatkan keselesaan hidup terutama isu pencemaran supaya penduduk di Tanjung Piai terpelihara mudarat alam sekitar.

“PH juga akan berusaha memperbanyakkan lagi rumah mampu milik di Tanjung Piai selain mengadakan program kesihatan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan penduduk dan terakhirnya, akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya untuk anak muda,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PH yakin dengan kredibiliti calon yang ditampilkan selain akan berusaha bersungguh-sungguh bagi mengekalkan kerusi Parlimen Tanjung Piai.

“Kita tidak ambil mudah saingan calon lain malah tidak mahu terlebih yakin namun akan memastikan pengundi Tanjung Piai berpuas hati dengan gerak kerja PH.

“Tun Dr Mahathir juga akan hadir ke Tanjung Piai pada 31 Oktober dan 8 November ini bagi melakukan lawatan kerja dan membantu jentera berkempen, ” katanya.

Berita Harian X